Selangor bimbang kebakaran tanah gambut burukkan jerebu

SHAH ALAM -Kerajaan Selangor menyuarakan kebimbangan terhadap potensi berlakunya kebakaran di kawasan tanah gambut yang boleh memburukkan lagi situasi jerebu di negeri itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, meskipun beberapa insiden kebakaran terbuka telah berjaya dikawal, namun kawasan tanah gambut kekal menjadi fokus utama pemantauan berikutan risiko kebakaran yang lebih besar dan sukar dikawal.
“Kebakaran di tanah gambut boleh mengambil masa lama untuk dikawal dan memerlukan operasi besar-besaran,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar di Majlis Perasmian Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor 2025 di Kompleks PKNS di sini pada Jumaat.
Menurut beliau, tiga kebakaran telah berlaku di Kuala Kubu Bharu (KKB), Kajang dan Seri Gombak baru-baru ini, namun semuanya berjaya dikawal dengan segera oleh pasukan bertugas.
“Kesemua insiden telah selesai dikawal, cuma di KKB kita masih terus memantau untuk memastikan tiada lanjutan,” katanya.
Amirudin menjelaskan, kerajaan negeri melalui Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin telah menggerakkan Unit Bencana Negeri bagi memantau keadaan jerebu secara harian.
Jelas beliau, pemantauan itu turut merangkumi rondaan yang lebih kerap di kawasan berisiko 'titik panas'.
“Kita akan ambil langkah-langkah proaktif supaya kebakaran tidak berulang terutama di kawasan berisiko tinggi,” jelasnya.
Amirudin menegaskan, semua pejabat daerah dan agensi berkaitan telah diarahkan untuk bersiap siaga menghadapi keadaan jerebu.
“Kita meminta semua agensi bertindak pantas jika berlaku sebarang kebakaran bagi mengelakkan situasi jerebu di Selangor menjadi lebih buruk,” tambah beliau.
Sementara itu, mengulas mengenai Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor 2025, Amirudin berkata, penganjuran kali ketiga itu membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh ekosistem industri buku, khususnya dalam segmen kanak-kanak.
Menurut beliau, selain penganjuran pesta buku umum yang lazim diadakan setiap tahun, Selangor turut memberi tumpuan kepada penganjuran pesta buku khusus untuk kanak-kanak bagi membuka ruang yang lebih luas kepada penerbit tempatan memasarkan karya masing-masing.
“Kita melihat potensi Selangor untuk menjadi pusat kepada penerbitan dan penghasilan buku kanak-kanak, sama seperti Bologna di Itali yang terkenal sebagai pusat industri buku kanak-kanak sedunia,” katanya.
Amirudin menjelaskan, pada Julai ini sahaja terdapat lima negeri menganjurkan pesta buku hasil inisiatif awal yang dimulakan di Selangor.
Menurut beliau, Selangor juga sedang berusaha untuk meningkatkan kualiti penganjuran pesta buku dengan menambah penyertaan antarabangsa, selaras dengan trend dua hingga tiga tahun kebelakangan ini.
“Kita mahu kandungan buku, perpustakaan dan program pembacaan yang ditawarkan selari dengan isu semasa dan keperluan anak-anak masa kini.
“Perpustakaan bukan sahaja perlu berubah dari segi fizikal, tetapi kandungannya juga mesti relevan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan terdapat lebih 160 reruai disediakan dalam pesta buku kali ini, merangkumi penerbit buku serta pelbagai agensi dan organisasi berkaitan kanak-kanak.
“Ramai dalam kalangan mereka bukan sekadar penerbit, tetapi juga penggiat aktiviti pembelajaran, penjagaan anak-anak, rekreasi dan sebagainya.
“Tahun lepas hasil jualan mencecah RM80,000. Walaupun kali ini kita berdepan isu seperti jerebu, namun sambutannya dijangka tetap menggalakkan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

