ADUN kerajaan Selangor digesa nyata pendirian isu SIP

Chean Chung
Chean Chung
A
A
A

SHAH ALAM - Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) penyokong kerajaan Selangor diminta tampil menyatakan pendirian berhubung pelaksanaan Sistem Parkir Pintar (SIP) Selangor yang didakwa mencetuskan kegusaran rakyat.

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung berkata, beliau akan memulakan inisiatif mengumpul tandatangan ADUN-ADUN terbabit dalam satu petisyen bersama bagi menggesa kerajaan negeri menangguhkan dan menilai semula skim berkenaan secara menyeluruh.

“Kerajaan negeri perlu menangguhkan SIP dan menjalankan kajian semula secara telus, profesional dan berpaksikan kepentingan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, walaupun Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan bahawa hanya Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang menghantar bantahan rasmi terhadap SIP, namun kenyataan itu tidak menyeluruh.

“MBPJ telah menghantar bantahan bertulis, tetapi majlis perbandaran lain dan Datuk Bandar tidak bersuara kerana mereka adalah penjawat awam lantikan kerajaan negeri serta terikat dan sukar menyatakan bantahan secara terbuka.

“Ahli-ahli majlis pula majoritinya juga lantikan politik yang bakal tamat tempoh hujung tahun ini, dan kebanyakan mereka menaruh harapan untuk disambung pelantikan. Justeru, menyuarakan bantahan secara terbuka boleh menjejaskan peluang mereka,” jelas beliau.

Chean Chung berkata, keberanian MBPJ tampil menyatakan bantahan secara rasmi wajar dipuji kerana mewakili sentimen awam.

“Suara rakyat perlu diberi keutamaan kerana wakil rakyat dipilih melalui proses pilihan raya, tidak seperti penjawat awam yang dilantik,” jelas beliau.

Beliau berkata, empat Ahli Parlimen daripada kawasan yang terlibat dengan pelaksanaan SIP sudah menyatakan bantahan mereka secara terbuka iaitu beliau sendiri (Petaling Jaya), William Leong (Selayang), Azli Yusof (Shah Alam), dan Wong Chen (Subang).

Artikel Berkaitan:

“Empat pihak berkuasa tempatan yang terbabit dalam pelaksanaan SIP ialah MBPJ, Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).”

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!