'Port' warga asing di Shah Alam diserbu, 220 PATI dicekup

SHAH ALAM – Seramai 220 pendatang asing tanpa izin (PATI) dicekup di sekitar Jalan J dan Jalan H Seksyen 15 di sini pada Selasa.
Timbalan Pengarah Imigresen Negeri (Kawalan), Mohmad Khusairi Kamarudin berkata, seramai 194 lelaki dan 26 wanita ditahan dalam operasi berkenaan.
Menurut beliau, daripada jumlah itu, seramai 88 warga Bangladesh ditahan diikuti Myanmar (51), India (35), Indonesia (30), Pakistan (22) dan Nepal (16).
"Serbuan dilakukan hasil risikan terhadap aktiviti perniagaan haram yang dijalankan oleh warga asing di kawasan berkenaan.
"Pemeriksaan dan tangkapan PATI di bawah Akta Imigresen 1959/63," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Operasi itu turut dilaksanakan secara bersepadu bersama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Sementara itu, Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata, pihaknya menjalankan tindakan Penguatkuasaan berdasarkan Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Establisymen Makanan (MBSA) 2007 serta UUK Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MBSA) 2007.
Katanya, menerusi penguatkuasaan itu, sebanyak lima premis perniagaan ditutup dan menyita sebuah pusat cuci kereta yang didapati melanggar pelbagai syarat lesen.
"Dua premis iaitu kedai runcit dan restoran di Jalan J ditutup, manakala tiga lagi kedai runcit di Jalan H turut dikenakan tindakan sama.
“Sebuah pusat cuci kereta pula disita kerana beroperasi tanpa lesen sah serta dikendalikan sepenuhnya oleh warga asing," tambahnya.
Jelas beliau, bagi penutupan premis, pemilik diberi tempoh 14 hari untuk hadir ke MBSA untuk memberikan penjelasan serta melakukan pembetulan terhadap pelanggaran syarat kepada jabatan berkaitan.
"Hanya selepas proses itu, barulah urusan pembukaan semula premis boleh dipertimbangkan oleh pihak berkuasa," katanya.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan itu, terdapat juga premis yang dikesan menjual haiwan hidup di dalam kawasan perniagaan sekali gus melanggar peraturan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Katanya, operasi bersepadu seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan premis perniagaan di negeri ini mematuhi syarat.
Mengulas lanjut, Mohd Fauzi berkata, hasil pemeriksaan pihaknya terdapat beberapa premis perniagaan yang dijalankan oleh warga asing beroperasi menggunakan lesen milik warga tempatan.
"Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menjalankan perniagaan tanpa lesen sah, melanggar peraturan atau menggaji pekerja tanpa dokumen," tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

