KADA nafi terlibat jual kilang padi sebagaimana dakwaan MB Kelantan

KOTA BHARU - Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) menafikan terbabit dalam penjualan kilang Padi Beras Darul Naim seperti yang didakwa Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Rabu.
Pengerusinya, Khalid Abdul Samad menegaskan agensi berkenaan tidak ada kaitan dengan syarikat yang disebutkan oleh Mohd Nassuruddin walaupun pengoperasiannya sebelum ini menggunakan nama KADA.
Menurutnya, kilang padi Padi Beras Darul Naim itu diuruskan oleh Lembaga Syarikat Kilang Padi Asas Tani yang menggabungkan beberapa Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) serta koperasi.
"Kilang itu ditubuhkan pada 1993 dan beroperasi hingga 2011. Bagaimanapun operasi kilang itu terpaksa dihentikan kerana prestasi kewangan yang lemah dengan kerugian sebanyak RM400,000 pada 2010 dan lebih RM500,000 pada 2011," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Program Tautan Tani Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) anjuran bersama KADA di sini pada Khamis.
Khalid menjelaskan, pada 2021, mesyuarat khas lembaga pengarah syarikat itu membuat keputusan menjual kilang berkenaan yang mana dua tawaran diterima iaitu RM4.4 juta dan RM4.8 juta melalui proses penilaian dan tender.
"Saya rasa sepatutnya Menteri Besar sebelum memberikan jawapan datang sendiri atau menghantar wakil untuk menyemak kesahihannya kerana ada beberapa syarikat yang menggunakan nama KADA sedangkan kita tidak terlibat," katanya.
Khalid memberitahu, pihaknya mengadakan perbincangan pada Khamis (pagi tadi) supaya KADA perlu ada satu dasar dan polisi yang perlu dimaklumkan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia bahawa penggunaan nama KADA tidak boleh dibenarkan kecuali dengan kebenaran agensi itu.
"Jika tidak akan timbul salah faham seperti yang dikaitkan itu," katanya.
Bagaimanapun Khalid berkata, pihaknya tidak akan mengambil sebarang tindakan kerana enggan memanjangkan isu itu.
"Kita juga tidak mahu ada pihak mempolitikkan isu berkenaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
