Himpunan Turun Anwar: GPMS nafi terlibat, tidak pernah beri mandat guna nama

GPMS menafikan penglibatan dalam Himpunan Turun Anwar dan tegaskan tiada mandat diberi kepada mana-mana pihak untuk guna nama pertubuhan itu. Foto hiasan/ Foto 123RF
GPMS menafikan penglibatan dalam Himpunan Turun Anwar dan tegaskan tiada mandat diberi kepada mana-mana pihak untuk guna nama pertubuhan itu. Foto hiasan/ Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menafikan sebarang penglibatan, perancangan mahupun sokongan terhadap penganjuran Himpunan Turun Anwar atau mana-mana perhimpunan berkaitan yang dijadualkan pada Sabtu ini.

Presidennya, Muhd Fazreen Ismadi Fauzi berkata, GPMS juga tidak pernah memberikan mandat kepada mana-mana pihak untuk menggunakan nama, logo atau identiti pertubuhan tersebut dalam apa-apa bentuk propaganda atau penyertaan demonstrasi politik.

“Sebarang individu atau kumpulan yang mendakwa mewakili GPMS dalam himpunan tersebut adalah bertindak di luar pengetahuan dan kebenaran rasmi pertubuhan.

“GPMS tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang tindakan yang melibatkan nama kami,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Himpunan Turun Anwar yang dijadualkan bermula jam 2 petang pada Sabtu di ibu negara merupakan kemuncak kepada siri himpunan kecil anjuran Pas dan Perikatan Nasional (PN) bagi mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletak jawatan.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima 60 laporan polis berkaitan perhimpunan tersebut.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, perhimpunan berkenaan dijangka disertai antara 10,000 hingga 15,000 peserta membabitkan gabungan badan bukan kerajaan (NGO), mahasiswa dan masyarakat awam.

Fazreen menegaskan, GPMS ialah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan agenda pendidikan, pembangunan sahsiah dan kepimpinan pelajar serta belia Melayu secara konstruktif dan melalui saluran sah.

“Sehubungan itu, kami menggesa semua pihak, khususnya pelajar dan anak muda, agar kekal fokus kepada pembangunan diri serta kemajuan bangsa menerusi pendekatan ilmu, akhlak dan rundingan terbuka, bukan konfrontasi jalanan.

Artikel Berkaitan:

“Perjuangan bangsa bukan di jalanan, tetapi di medan ilmu dan kepimpinan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!