Kembalikan peperiksaan utama tetapi secara hibrid

RUNGUTAN segelintir guru yang mahu sistem peperiksaan utama seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dikembalikan bukanlah satu nostalgia semata-mata, tetapi lahir daripada keresahan yang berasas terhadap masa depan pelajar.
Para guru berpendapat, ketiadaan peperiksaan formal awal dilihat melemahkan daya saing, mengurangkan motivasi belajar dan menjadikan pelajar hilang arah dalam pembelajaran.
Kajian oleh Universiti Malaya pada 2023 mendapati hampir 68 peratus guru merasakan pelajar kurang menunjukkan kesungguhan belajar apabila tiada peperiksaan utama untuk dijadikan sasaran.
Tanpa sistem penilaian berasaskan peperiksaan, pelajar cenderung memandang remeh aspek penguasaan ilmu kerana tiada penanda aras yang jelas.
Ini secara tidak langsung menjejaskan budaya kecemerlangan yang selama ini dibentuk melalui cabaran akademik.
Kajian Kementerian Pendidikan Singapura pada 2022 juga menunjukkan pelajar memerlukan bentuk penilaian yang mampu memacu daya saing secara sihat, bukan semata-mata pembelajaran berasaskan projek atau pentaksiran berterusan yang kadangkala subjektif.
Tanpa sistem peperiksaan, jurang pencapaian antara pelajar bandar dan luar bandar juga semakin melebar kerana kekurangan rangsangan kompetitif.
Memang benar, dunia pendidikan moden menggalakkan pendekatan holistik dan pembelajaran berasaskan kemahiran, namun ini tidak bermakna sistem peperiksaan perlu dilenyapkan terus.
Penilaian berstruktur seperti UPSR dan PMR mampu memberi motivasi, membina disiplin belajar dan membantu pihak sekolah membuat intervensi awal terhadap pelajar yang lemah.
Cadangan untuk mengembalikan peperiksaan tidak bermaksud kembali kepada sistem lama sepenuhnya, tetapi sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan hibrid, iaitu menggabungkan penilaian formatif dan sumatif.
Ini sejajar dengan pendekatan pendidikan progresif, di mana pelajar bukan sahaja dinilai secara berterusan, tetapi juga diuji keupayaan mereka dalam satu bentuk cabaran akademik yang jelas dan berfokus.
Jadi luahan daripada sebahagian besar guru ini adalah asas dan logik kerana mereka yang setiap hari berdepan dengan situasi pengajaran serta pembelajaran, jadi mereka tahu apa kelompongan dalam sistem pendidikan negara hari ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
