Konon nak tiru sistem barat, sudahnya pelajar main-main di sekolah

Ada kajian dari UM dan UIAM yang tunjuk pelajar mula kurang disiplin bila tak ada sistem peperiksaan yang jelas. Gambar hiasan
Ada kajian dari UM dan UIAM yang tunjuk pelajar mula kurang disiplin bila tak ada sistem peperiksaan yang jelas. Gambar hiasan
A
A
A

CIKGU-cikgu dah mula geleng kepala. Budak datang sekolah macam datang berkelah; santai, tak kisah, tak takut apa-apa. Bila ditanya kenapa kerja sekolah tak siap, jawabnya, “Tak ada exam pun, cikgu.” Nah, siapa yang kena?

Cikgu juga yang pening!

Sejak UPSR dan PMR ‘dikebumikan’, ramai guru mengeluh. Pelajar makin lembik, tak ada semangat nak bersaing, tak tahu nak capai apa.

Sistem sekarang konon nak kurangkan tekanan, tapi hakikatnya makin ramai pelajar hilang fokus. Bila tak ada peperiksaan, tak ada tekanan langsung dan akhirnya tak ada motivasi.

Realitinya itu bukan hanya Merak Jalanan saja yang perasan tapi ramai juga yang mula buka mata. Merak Jalanan tahu bukan semua pelajar boleh ‘berjaya’ dengan sistem pentaksiran berasaskan projek dan pembentangan.

Bukan semua pelajar hebat bercakap depan kelas atau buat folio cantik. Tapi ramai sebenarnya yang boleh buktikan kecemerlangan melalui kertas peperiksaan, iaitu tempat sebenar mereka tunjuk ilmu. Tak adil bila platform itu ditarik balik atas nama ‘pendidikan holistik’.

Ada kajian dari UM dan UIAM yang tunjuk pelajar mula kurang disiplin bila tak ada sistem peperiksaan yang jelas.

Budaya belajar makin longgar. Kita sibuk nak jadi macam Finland, tapi lupa infrastruktur dan budaya belajar kita jauh beza. Kononnya nak tiru sistem Barat, tapi murid kita masih belum ada asas belajar sendiri yang kukuh.

Cikgu nak ajar pun terbantut. Macam mana nak pacu pelajar kalau matlamat akademik pun kabur? Kad laporan pun entah apa-apa. Ibu bapa pun makin keliru.

Artikel Berkaitan:

Sudahlah. Dah sampai masa kerajaan fikir balik. Bukan semua benda lama itu tak relevan. UPSR dan PMR mungkin perlu diberi nafas baharu, bukan dihapuskan terus.

Beri pelajar sasaran yang jelas. Beri cikgu senjata untuk bentuk generasi berilmu. Bukan generasi ‘main-main’.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!