Kebakaran saluran gas: Bantuan sewa rumah diagihkan pada Khamis

SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor akan menyalurkan bantuan sewa rumah selama tiga bulan kepada 396 keluarga mangsa tragedi kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya pada Khamis ini.
Bantuan berjumlah RM2,000 sebulan itu akan diberikan kepada semua ketua isi rumah yang layak menerimanya, seperti yang dikenal pasti daripada senarai permohonan yang diterima sebelum ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri akan memanggil semua penerima yang layak bagi penyerahan bantuan berkenaan.
“Pada Khamis ini, kita akan serah bantuan itu yang akan dimasukkan secara terus ke dalam akaun (bank) mereka.
"Selain penyerahan bantuan kewangan itu, mereka akan diberikan taklimat mengenai proses pembinaan semula rumah yang terjejas dalam tragedi berkenaan,” ujarnya.
Menteri Besar ditemui selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama (MoU) KDEB Waste Management (KDEBWM) dan Nestlé Malaysia sempena program SELKitar di Pusat Konvensyen Shhw Alam di Seksyen 14, di sini, pada Selasa.
Terdahulu, media melaporkan penduduk mendakwa belum menerima sebarang penjelasan rasmi mengenai pelan tindakan susulan daripada kerajaan atau pihak berkaitan meskipun insiden tersebut telah memasuki hari ke-20.
Walaupun terdapat maklumat awal bahawa Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan melaksanakan kerja-kerja baik pulih rumah yang rosak, namun masih belum ada keputusan muktamad atau penjelasan terperinci mengenai spesifikasi pembinaan semula itu.
Amirudin sebelum ini mengumumkan bahawa kerajaan negeri akan menanggung keseluruhan sewa sehingga RM2,000 sebulan bagi 613 keluarga mangsa kebakaran yang terpaksa berpindah ke kediaman lain berikutan rumah mereka terjejas dalam insiden tersebut.
Bantuan keseluruhan berjumlah RM7.35 juta itu akan disalurkan selama enam bulan kepada semua mangsa termasuk penyewa, bagi membolehkan mereka menduduki rumah di kawasan berhampiran termasuk kediaman di bawah Skim Smart Sewa di Kota Warisan, Sepang.
Mengulas lanjut, Menteri Besar memaklumkan bahawa penerangan awal berkaitan proses membaik pulih rumah mangsa turut akan diperjelaskan kepada penduduk terlibat.
“Kita telah menghantar cadangan kepada kerajaan Persekutuan mengenai kaedah pembaikan itu yang melibatkan aspek peruntukan besar.
"Kini, kita menunggu keputusan Kabinet dan akan maklumkan jika Jemaah Menteri sudah bersetuju nanti,” ujarnya.
Jelasnya, kerajaan negeri perlu meneliti pelbagai perkara kerana insiden berkenaan melibatkan kawasan kampung dan taman yang memerlukan pendekatan berbeza.
“Sebab itu kita sudah maklumkan bahawa perlukan antara satu ke dua minggu untuk menjelaskannya. Kita kini dalam landasan yang sebaiknya dan akan membantu mangsa sebaik mungkin. Kita faham kesusahan dihadapi mereka,” tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

