Ismanira akui cari Zayn Rayyan di lokasi jauh, tidak jejaki kebun dekat rumah

PETALING JAYA – Ibu Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin mengakui di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, bahawa dia telah mencari kanak-kanak autism itu di lokasi yang jauh daripada rumah, sedangkan kebun dekat rumahnya tidak pula dijejaki.
Ismanira Abdul Manaf berkata demikian ketika perbicaraan bela diri hari ketiga, atas satu kes pengabaian dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap Zayn Rayyan, 6, di hadapan Hakim, Dr Syahliza Warnoh.
Menjawab soalan pendakwaan, wanita berusia 30 tahun itu berkata, antara lokasi pencarian Zayn Rayyan pada 5 Disember 2023 ialah seluruh blok pangsapuri, sekolah, restoran makanan segera dan pejabat tempat dia bekerja yang terletak kira-kira 500 meter daripada rumah kediamannya.
Ismanira berkata, pada mulanya dia mencari anak sulung itu secara bersendirian di setiap tingkat bermula di Blok R, kemudian S dan A.
Katanya, hanya selepas ketibaan suami, Zaim Ikhwan Zahari dari tempat kerja, barulah mereka meneruskan pencarian di lokasi agak jauh antaranya Blok E kemudian ke Pangsapuri Indah dan Harmoni termasuk stesen minyak berdekatan kawasan terbabit.
Ibu kepada dua cahaya mata itu turut bersetuju dengan cadangan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, bahawa semua lokasi berkenaan agak jauh berbanding kebun berdekatan aliran anak sungai tempat mayat Zayn Rayyan ditemui.
Pendakwaan: Ketika mencari, jalan kaki atau naik motosikal?
Ismanira: Mula-mula jalan kaki, selepas jumpa suami di Blok E, saya naik kereta bersamanya ke lokasi lain.
Pendakwaan: Zayn Rayyan tahu jalan nak ke semua lokasi itu?
Ismanira: Tahu.
Pendakwaan: Selalu bawa dia ke sana? Naik apa?
Ismanira: Ya sekali dua, ada jalan kaki dan ada juga naik motosikal.
Pendakwaan: Jalan kaki ke mana?
Ismanira: Bangunan tempat kerja, Zayn Rayyan ikut saya ke sana tapi tak ingat tarikh.
Pendakwaan: Puan tak cari di kawasan dekat rumah contohnya kebun tapi sanggup ke lokasi berjauhan, setuju?
Ismanira: Setuju.
Bagaimanapun, ketika menjawab soalan peguamnya, Haresh Mahadevan, Ismanira yang juga saksi pembelaan pertama berkata, usaha mencari kanak-kanak istimewa itu tidak dilakukan di kawasan kebun kerana dia tidak pernah membawa Zayn Rayyan bermain di sana.
“Saya kenal anak sendiri, dia seorang kanak-kanak autism dan hanya bermain ke tempat yang biasa dikunjungi, dia tidak pernah pergi ke kebun itu," katanya.
Prosiding bersambung dengan pembelaan menyoal saksi pembelaan kedua iaitu bapa mentua Ismanira, Zahari Mohd Reba.
Mengikut pertuduhan pindaan, Ismanira didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan, antara jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan jam 9.55 malam, keesokkannya.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, jam 10 malam.
Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang, sebelum ditemui terbaring, dengan jarak kira-kira 200meter dari blok kediamannya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

