Ismanira syak Zayn Rayyan dilarikan, dicekup seseorang

PETALING JAYA – Ibu Zayn Rayyan Abdul Matin memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa bahawa, dia mengesyaki kanak-kanak autism itu dicekup atau dilarikan oleh seseorang, pada 5 Disember 2023 lalu.
Ismanira Abdul Manaf berkata demikian ketika memberi keterangan pada hari kedua perbicaraan bela diri, atas satu kes pengabaian dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap Zayn Rayyan di hadapan Hakim, Dr Syahliza Warnoh.
Semasa pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Ismanira, 30, berkata, dia percaya perkara itu berlaku kerana dia tidak mendengar tapak kasut Allahyarham ketika menaiki tangga ke tingkat dua, Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai.
Dia yang juga saksi pembelaan pertama bersetuju dengan cadangan bahawa, bunyi tapak kaki orang berlari akan kedengaran sekiranya kanak-kanak istimewa itu dilarikan mahupun dicekup.
Pendakwaan: Saya cadangkan semasa kejadian, sebenarnya tiada sesiapa pun dicekup atau dilarikan orang, setuju?
Ismanira: Tidak setuju.
Pendakwaan: Logiknya, kamu mesti akan nampak Zayn Rayyan di belakang atau jika dia dicekup, sedangkan kamu beritahu mahkamah, sentiasa menoleh kepada arwah.
Ismanira: Saya menoleh pada Zayn Rayyan tetapi bukan setiap masa, kerana saya menggunakan deria untuk mengawasainya.
Pendakwaan: Jika kamu guna mata, bukankah ia lebih jelas berbanding menggunakan pendengaran?
Ismanira: Setuju.
Pendakwaan: Setuju atau tidak, menggunakan deria pendengaran bukanlah satu pemantauan yang tepat, lebih-lebih lagi ketika memantau kanak-kanak istimewa seperti Zayn Rayyan.
Ibu kepada dua cahaya mata ini berkata tidak setuju.
Ismanira yang bekerja sebagai kerani akaun turut memberi jawapan yang sama, terhadap cadangan pihak pendakwaan bahawa, dia meninggalkan Zayn Rayyan di taman permainan dan terus naik ke rumahnya, seorang diri.
Soalan berkenaan kemudiannya dibantah oleh peguam, Haresh Mahadevan yang mewakili Ismanira dengan alasan, naratif meninggalkan Zayn Rayyan seorang diri di taman, tidak pernah dibangkitkan oleh saksi-saksi pendakwaan.
Raja Zaizul Faridah kemudiannya membalas hujahan itu dengan menyatakan, saksi pendakwaan keempat, bekas pegawai penyiasat, Ibu Pejabat Polis (IPD) Petaling Jaya, Inspektor Nina Syamimi Syamsuddin memberitahu fakta itu semasa perbicaraan lalu.
“Ini merupakan saksi mereka, jadi pembelaan boleh menyoalnya semula kerana ketika ini saya menggunakan tugas selaku pendakwaan dalam pemeriksaan balas,” katanya.
Selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak, Hakim, Syahliza merekodkan semua bantahan dan membenarkan soalan yang diajukan pendakwaan.
Prosiding bersambung Rabu.
Mengikut pertuduhan pindaan, Ismanira didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan, antara jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan jam 9.55 malam, keesokkannya.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, jam 10 malam.
Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang, sebelum ditemui terbaring, dengan jarak kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

