'Saya dipaksa mengaku bunuh Zayn Rayyan' - Ismanira

PETALING JAYA – Ibu Zayn Rayyan Abdul Matin memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa bahawa dia telah dipaksa mengaku membunuh anak sendiri semasa permohonan reman di hadapan seorang majistret, Jun tahun lalu.
Ismanira Abdul Manaf berkata demikian ketika memberi keterangan pada hari kedua perbicaraan bela diri atas satu kes pengabaian dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap Zayn Rayyan di hadapan Hakim, Dr Syahliza Warnoh.
Ketika disoal peguam, Haresh Mahadevan, wanita berusia 30 tahun itu berkata, dia meluahkan semua ketidakadilan yang berlaku kepada pihak majistret.
“Saya beritahu, yang saya tidak rela untuk dibawa berjumpa dengan majistret kerana telah dipaksa dan digertak.
“Majistret kemudiannya menerima pengakuan tidak bersalah saya,” katanya.
Sebelum itu Ismanira berkata telah ditahan reman di sebuah ‘safe house’ selama 13 hari.
Menurutnya, ‘safe house’ merupakan rumah banglo yang terletak di tepi jalan besar, sekitar Petaling Jaya.
“Saya disoal siasat selama 12 hari di rumah itu sementara sehari lagi saya disiasat di lokap Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bahagian cawangan khas.
“Di sana, saya disiasat bermula jam 9 pagi hingga 6 petang oleh anggota atau pegawai yang sama,” katanya.
Meskipun ditekan semasa soal siasat, namun ibu kepada dua cahaya mata ini berkata telah memberi kerjasama yang baik kepada pihak polis.
Peguam: Adakah pihak polis berpuas hati dengan kerjasama yang anda berikan?
Ismanira: Tidak.
Peguam: Kenapa?
Ismanira: Mereka menuduh malah mengarang cerita kesalahan yang tidak pernah saya lakukan.
Peguam: Cerita apa yang mereka karang?
Ismanira: Polis mereka-reka cerita yang saya sebenarnya telah menjumpai Zayn Rayyan lalu menuduh saya membunuh anak sendiri, tetapi apabila saya menafikannya, mereka tetap tidak berpuas hati.
Dia yang bekerja sebagai kerani akaun berkata, pihak polis masih tidak berpuas hati biarpun dia telah bercakap jujur.
Susulan itu, Ismanira yang juga saksi pembelaan pertama berkata, bagi mendapatkan keadilan, dia telah mengadukan perkara itu kepada majistret, semasa dibawa untuk permohonan reman kali dua kali.
Selain itu katanya, laporan polis turut dibuat namun sehingga kini tiada maklum balas mengenai perkara tersebut.
Prosiding ditangguhkan sementara dan dijangka bersambung jam 2 petang Selasa.
Pada 1 Jun 2024, pihak polis mengesahkan ibu bapa Zayn Rayyan ditahan reman selama tujuh hari, bagi membantu siasatan kes bunuh kanak-kanak tersebut.
Mahkamah Majistret di sini kemudiannya membenarkan permohonan reman disambung selama enam hari lagi, sehingga 13 Jun.
Mengikut pertuduhan pindaan, Ismanira didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan, antara jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan jam 9.55 malam, keesokkannya.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, jam 10 malam.
Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang, sebelum ditemui terbaring, dengan jarak kira-kira 200meter dari blok kediamannya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

