Sindiket e-waste tumpas di Segamat, rampasan cecah RM190 juta

JOHOR BAHRU – Sindiket pemprosesan sisa elektronik (e-waste) yang beroperasi sejak setahun lalu berjaya ditumpaskan dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Batu Anam, Buloh Kasap, Segamat dengan rampasan bernilai RM190 juta.
Pegawai Pemerintah Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintenden Salehin Suleiman berkata, operasi bersepadu itu dijalankan pada 16 Jun lalu bersama Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Imigresen dan Majlis Perbandaran Segamat dalam Op Hazard 2.0.
“Dalam serbuan itu, seramai 56 individu ditahan termasuk dua warga tempatan iaitu seorang lelaki dan seorang wanita yang masing-masing bertindak sebagai pemandu lori dan kerani premis.
“Turut dirampas sisa e-waste seberat kira-kira 5,920 tan, plastik pelbagai jenis seberat 9.45 tan, besi 1,031 tan, 23 unit forklift, 42 buah mesin serta sebuah lori treler,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sementara itu, dalam operasi berasingan, Batalion 5 PGA turut menahan 25 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam serbuan di kawasan kebun sawit Ladang Tumbuk, Selangor pada 14 April lalu kira-kira jam 6.30 pagi.
“Tangkapan membabitkan 16 lelaki dan sembilan wanita dewasa yang dipercayai baru tiba melalui jalan laut tidak diwartakan serta gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.
"Kesemua mereka diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat untuk tindakan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63," ujar beliau.
Salehin turut menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan lambakan barangan kontraban dan kemasukan PATI melalui laluan tidak sah menerusi talian hotline Pejabat Risik/Gerakan Batalion 5 PGA di nombor 07-7557280.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

