Sindiket penyeludupan imigran tumpas di Ampang


PUTRAJAYA - Dua lelaki warganegara Indonesia yang baru tiba di negara ini melalui pintu tidak diwartakan berjaya diberkas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bersama seorang 'transporter' melakukan kerja mengangkut imigran larangan.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya berjaya menyelamat dan menumpaskan satu sindiket ejen penyeludupan dalam satu operasi khas pada Rabu di Ampang, Selangor.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat awam serta hasil risikan dijalankan, pasukan operasi telah diatur gerak ke lokasi dan berjaya menahan sebuah kenderaan jenis Perodua Aruz yang digunakan oleh seorang transporter untuk mengangkut imigran larangan.
Kata beliau, hasil pemeriksaan mendapati pemandu atau transporter tersebut merupakan seorang wanita warganegara Indonesia.
"Pemeriksaan menemukan dua lelaki warganegara Indonesia yang baru tiba berada di dalam kenderaan tersebut."Turut diperiksa dalam operasi itu empat lelaki serta satu wanita warganegara Indonesia yang turut berada di kawasan parkir dan dipercayai untuk menaiki kenderaan yang sama.
"Mereka mengaku untuk dihantar pulang ke negara asal melalui pintu yang tidak diwartakan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Zakaria berkata, pasukan operasi turut menjalankan pemeriksaan ke atas premis yang dijadikan sebagai rumah penampungan atau transit bagi imigran larangan.
Hasil pemeriksaan dilakukan, katanya, pasukan operasi telah menjumpai seorang wanita yang tidak berdaya disyaki sebagai mangsa eksploitasi.
Jelasnya, wanita tersebut dipercayai telah diserahkan oleh majikan kepada ejen haram untuk dihantar pulang ke negara asal.
Tambah beliau, pihaknya turut menjumpai beberapa pasport milik orang lain di bilik ejen haram atau transporter.
"Modus operandi sindiket adalah menawarkan perkhidmatan membawa masuk dan menghantar imigran larangan pulang dengan bayaran mencecah sebanyak RM4,500 seorang melalui pintu yang tidak diwartakan.
"Ejen haram atau transporter yang menguruskan kegiatan ini merupakan warganegara Indonesia dan kebanyakan imigran diambil dari sekitar Johor dan Negeri Sembilan," ujarnya.
Beliau berkata, operasi turut menggunakan pendekatan mengenalpasti mangsa pemerdagangan orang atau buruh paksa dalam kalangan golongan rentan dengan berpandukan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0.
Kata beliau, JIM telah memulakan siasatan bagi melihat kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670).
Tegasnya, JIM memandang serius perkara tersebut dan akan meneruskan operasi penguatkuasaan serta mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan pemerdagangan orang di bawah ATIPSOM 2007.
Sabit kesalahan, katanya, individu terlibat boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup atau dengan penjara selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun, dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat bagi kesalahan pemerdagangan orang.
"JIM mengalu-alukan kerjasama daripada masyarakat sekiranya mempunyai maklumat tentang jenayah pemerdagangan orang bagi memastikan tindakan undang-undang boleh diambil, selaras usaha kerajaan membanteras jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran.
"Sebarang aduan atau maklumat boleh disalurkan ke Bahagian Pencegahan ATIPSOM & AMLA melalui talian 03-8880 1471 atau e-mel: urusetia_p@imi.gov.my," ujarnya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!