Sisa elektronik bernilai lebih RM21 juta dirampas, empat lelaki ditahan

PGA dan JAS Kedah rampas sisa elektronik dan peralatan bernilai RM21.25 juta di kilang haram di Kulim.
PGA dan JAS Kedah rampas sisa elektronik dan peralatan bernilai RM21.25 juta di kilang haram di Kulim.
A
A
A

IPOH - Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah merampas pelbagai peralatan dan sisa elektronik (e-waste) bernilai lebih RM21 juta dalam satu operasi bersepadu di sebuah kilang haram di Mukim Bagan Sena dekat Kulim, Kedah pada Rabu.

Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, operasi dinamakan Op Hazard itu melibatkan Cawangan Risik Batalion 18 Pengkalan Hulu, Perak dan Batalion 2 Kulim, Kedah selepas risikan mendapati premis berkenaan menjalankan pemprosesan sisa elektronik secara haram.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati kilang itu beroperasi tanpa lesen sah, dengan penemuan bongkah-bongkah sisa elektronik yang dimampatkan, selain pelbagai peralatan pemprosesan logam.

"Antara rampasan termasuk bongkah disyaki sisa elektronik seberat 50,000 kilogram (kg), aluminium 20,000kg, sisa enapcemar 30,000kg, longgokan sisa debu dan dua forklift.

"Turut dirampas, tiga buldozer, tiga mesin pelebur logam, dua mesin campuran dan sebuah mesin penghancur dan rampasan dilakukan oleh JAS Kedah dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM21.25 juta,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Shahrum berkata, seorang lelaki tempatan dan tiga warga asing dari China dan Myanmar berusia antara 36 hingga 45 tahun ditahan, dengan dua warga Myanmar tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 18, 34A dan 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Seksyen 6 Peniaga Sekendhend 1946 serta peruntukan di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Beliau berkata, kegiatan pemprosesan sisa elektronik tanpa kawalan boleh memberi kesan serius kepada alam sekitar dan kesihatan awam kerana bahan buangan seperti plumbum, merkuri dan kadmium berpotensi mencemarkan tanah dan air. - Bernama

 

Artikel Berkaitan:

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!