Zionis gempur 'zon selamat' di Genting Gaza

BANDAR GAZA - Tentera Israel melancarkan serangan ganas terbaharu termasuk melalui operasi darat menyasarkan Deir al-Balah, kawasan tengah Genting Gaza yang sebelum ini ditetapkan sebagai 'zon kemanusiaan selamat'.
Kempen pencerobohan berskala besar itu diperhebatkan pada Isnin selepas Pasukan Pertahanan Israel (IDF) menggugurkan risalah pemindahan paksa yang mengarahkan penduduk Palestin menuju ke al-Mawasi di selatan wilayah tersebut yang sudah pun terlalu sesak.
Kawasan di bawah arahan pemindahan itu didiami hampir 100,000 penduduk Palestin yang terpaksa berpindah-randah sebanyak beberapa kali sebelum ini.

Penduduk setempat mendakwa hujan bom tanpa henti melanda tengah Bandar Gaza.
Saksi percaya pasukan infantri bersama unit kereta kebal sedang siap siaga mara dari utara Khan Yunis untuk menggempur bahagian barat daya Deir al-Balah di bawah langkah yang bertujuan untuk memutuskan pinggir selatan dari seluruh kawasan tengah enklaf berkenaan.
Jika Zionis meneruskan kempen pencerobohan melalui darat itu, ia boleh mengakibatkan kehilangan satu lagi kawasan ladang penting, sekali gus memburukkan lagi krisis kebuluran di Gaza.
Pemerhati turut memberi amaran IDF mungkin sedang merancang penubuhan koridor ketenteraan baharu untuk mengasingkan Khan Yunis dari tengah Gaza.
Rancangan jahat sama pernah dilakukan sebelum ini apabila Rafah dipisahkan dari Khan Yunis.
Tindakan sedemikian akan memberikan kawalan penuh kepada IDF dan menyebabkan penduduk Palestin terpaksa bersesak di zon lebih kecil terutamanya di kawasan sepanjang pantai.
'Harapan terakhir'
Susulan krisis kebuluran yang semakin kritikal, Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) menekankan tentang kepentingan Deir al-Balah yang menjadi 'harapan terakhir' penduduk Palestin.
“Sebarang kemusnahan akan mengancam nyawa mereka. Kawasan di Gaza yang berada di bawah arahan pemindahan paksa telah meningkat kepada 87.8 peratus.
“Seramai 2.1 juta penduduk Palestin bersesak dalam kawasan sempit berbaki kira-kira 12 peratus di selatan di mana perkhidmatan penting telah runtuh,” menurut kenyataan itu lagi.

OCHA turut merekodkan pembunuhan kejam ke atas hampir 1,000 pencari bantuan di hab kendalian Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) yang digelar sebagai 'perangkap maut' sejak enam minggu lalu.
Bukti kezaliman di pusat agihan disokong Amerika Syarikat (AS) itu didedahkan menerusi rakaman video berdurasi 20 saat yang tular pada akhir minggu lalu.
Klip itu memaparkan tindakan tidak berperikemanusiaan tiga askar Zionis menggunakan semburan lada terhadap pencari bantuan di Shakoush di bandar Rafah ketika kejadian pada awal bulan lalu.
Kumpulan terdiri daripada wanita dan kanak-kanak itu kemudiannya bertempiaran lari meninggalkan lokasi tersebut sambil menutup mulut masing-masing.
Agensi bantuan antarabangsa memberi amaran krisis kebuluran di Gaza semakin meruncing dan kira-kira sejuta kanak-kanak berisiko mati kelaparan akibat sekatan berterusan Israel. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

