Israel rancang serangan besar-besaran ke atas Gaza

Gelombang perpindahan terbesar sekali lagi tercetus di Gaza.
Gelombang perpindahan terbesar sekali lagi tercetus di Gaza.
A
A
A

BANDAR GAZA - Israel mengumumkan rancangannya untuk melakukan operasi ketenteraan besar-besaran ke atas Semenanjung Gaza.

Perkembangan terkini itu berlaku selepas rejim Zionis berjaya menawan satu lagi laluan strategik dalam usaha berterusan menguasai sebahagian besar wilayah Palestin yang kini musnah teruk akibat peperangan.

Berikutan itu, Israel memberi amaran supaya lebih 10,000 penduduk Palestin yang tinggal Khan Yunis dan sekitarnya di selatan Gaza supaya meninggalkan kawasan terbabit secepat mungkin demi keselamatan masing-masing.

Menteri Pertahanannya, Israel Katz berkata, tindakan berkenaan perlu selepas tentera rejim Zionis kini melengkapkan penguasaan mereka ke atas kawasan Morag, satu laluan merentasi Gaza antara bandar Rafah dan Khan Yunis.

“Kawasan ini kini menjadi sebahagian daripada zon keselamatan Israel, bersama Laluan Philadelphia yang terletak sepanjang sempadan Gaza-Mesir.

"Zon ini penting bagi mengekang pergerakan Hamas dan memastikan keselamatan negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Dalam pada itu, puluhan ribu penduduk di Khan Yunis dan kawasan sekitarnya di selatan Gaza telah diarahkan berpindah serta-merta.

Ia berikutan serangan baharu yang dilancarkan Israel selepas beberapa peluru berpandu dipercayai dilepaskan dari kawasan tersebut.

Israel Katz
Israel Katz

Artikel Berkaitan:

Menurut Katz lagi, serangan akan diperluaskan ke kawasan lain di seluruh Gaza termasuk di bahagian utara dan di Koridor Netzarim, selaras dengan misi penghapusan Hamas dan usaha membebaskan semua tebusan Israel.

“Sekarang adalah masanya untuk rakyat Gaza bangkit menentang Hamas.

"Penghapusan kumpulan ini serta pembebasan semua tebusan adalah satu-satunya jalan untuk menamatkan perang ini,” tegas beliau.

Sementara itu, seorang pegawai Hamas memberitahu agensi berita AFP bahawa pihaknya menjangkakan “kemajuan sebenar” dalam rundingan gencatan senjata yang sedang berlangsung di Kaherah bersama pihak perantara Mesir.

Walaupun begitu, sejak kegagalan rundingan gencatan senjata pada pertengahan Mac lalu, operasi tentera Israel yang diperbaharui telah menyebabkan ratusan ribu penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal sekali lagi.

Israel mendakwa serangan berterusan ini adalah untuk memberi tekanan kepada Hamas agar melepaskan baki 58 tebusan yang masih ditahan sejak serangan mengejut pada 7 Oktober 2023.

Sebaliknya, Hamas mendakwa serangan ini hanya bertujuan membunuh orang awam tidak berdosa serta membahayakan nyawa tebusan Israel sendiri. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!