Zunar bimbang AI ‘bunuh’ kerjaya kartunis

Anwar (dua dari kanan) dan Wan Azizah ketika Majlis Peluncuran Buku Melukis Dengan Hati: Biografi Perjalanan Seni 50 Tahun Karya Zunar di Pustaka Raja Tun Uda pada Selasa. Turut hadir Amirudin (kanan) dan Zunar (dua dari kanan). Foto Bernama
Anwar (dua dari kanan) dan Wan Azizah ketika Majlis Peluncuran Buku Melukis Dengan Hati: Biografi Perjalanan Seni 50 Tahun Karya Zunar di Pustaka Raja Tun Uda pada Selasa. Turut hadir Amirudin (kanan) dan Zunar (dua dari kanan). Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kartunis politik terkenal, Zunar menyuarakan kebimbangan terhadap kemunculan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang menurutnya boleh mengancam masa depan penggiat seni visual, terutamanya golongan kartunis muda.

Menurut Zunar, walaupun AI kini menjadi trend baharu, penerimaannya dalam kalangan pelukis visual masih bercampur baur kerana teknologi tersebut berpotensi 'membunuh' kerjaya kartunis.

“Kalau orang menyatakan kenapa perlu guna kartunis sedangkan boleh guna AI, ini boleh membunuh ketulenan seni. Juga boleh membunuh prospek anak-anak muda yang mahu menjadi kartunis kerana orang akan kata tak perlu guna manusia lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Peluncuran Buku Melukis Dengan Hati: Sebuah Biografi Seni 50 Tahun Dalam Bidang Kartun yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) di sini pada Selasa.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Mengulas lanjut, beliau turut memberi contoh berkaitan isu hak cipta yang menjadi cabaran utama penggiat seni dalam era AI.

“Saya nak ceritakan satu kisah yang paling parah bagi artis adalah hak cipta kita. Bulan lepas di mahkamah Amerika, Meta (syarikat induk Facebook) disaman penulis bernama Sarah Silverman kerana Meta mengambil hasil karya beliau untuk dijadikan modul latihan. Tapi penulis itu kalah,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan tiada jaminan bahawa pengkarya akan dilindungi dalam era kecerdasan buatan.

“Maka, tidak ada jaminan ketika zaman AI ini bahawa pengkarya-pengkarya akan diselamatkan,” ujarnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Zunar yang dilahirkan pada 15 Mei 1962 di Kampung Padang Durian, Sungai Tiang, Kedah tidak memiliki pendidikan formal dalam bidang seni.

Namun, bakat dan semangat yang tinggi membawanya ke pentas antarabangsa, menjadikan beliau antara tokoh kartunis politik yang paling lantang dan dihormati.

“Bakat bukan anugerah. Bakat adalah tanggungjawab,” tegas Zunar dalam bukunya itu yang turut mengandungi refleksi perjuangan beliau menentang rasuah dan penindasan menerusi karya-karya seni.

Sementara itu, PPAS yang menganjurkan majlis peluncuran ini juga merupakan urus setia bagi dua acara besar yang bakal berlangsung iaitu Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor (24–27 Julai 2025) di Kompleks PKNS, Shah Alam dan Pesta Buku Antarabangsa Selangor (28 November–7 Disember 2025) di Setia City Convention Centre (SCCC), Setia Alam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!