Mayat di anak sungai bukan Zayn Rayyan tapi budak lain - Ismanira

PETALING JAYA – “Mayat yang ditemui di aliran sungai berhampiran Pangsapuri Idaman, Damansara Damai bukan anak saya tetapi budak lain, itu bukan Zayn Rayyan Abdul Matin.”
Demikian kata ibu kanak-kanak autistik, Ismanira Abdul Manaf pada hari pertama perbicaraan bela diri atas satu kes pengabaian dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap kanak-kanak autisme itu, dua tahun lalu.
Ketika itu, ibu dua anak itu berkata, dia berada dalam fasa penafian kerana masih tidak mempercayai bahawa anaknya ditemui dalam keadaan tidak bernyawa.
Menceritakan detik penemuan Allahyarham Zayn Rayyan sekitar jam 10 malam pada 6 Disember 2023 lalu, Ismanira yang juga saksi pembelaan pertama berkata, dia mengetahui anak istimewanya telah ditemui selepas dikejutkan dengan jeritan orang ramai di kawasan semak terbabit.
Ditanya peguamnya, Haresh Mahadevan, pada waktu berkenaan dia sedang memangku anak keduanya di kawasan tempat letak kereta bersama ahli keluarga lain.
“Saya menangis gembira, sebab ingatkan Zayn Rayyan sudah ditemui dalam keadaan selamat.
“Sehinggalah saya lihat suami dipapah keluar daripada kawasan itu manakala bapa mentua memberitahu Zayn Rayyan telah tiada. Saya masih tidak berpuas hati dengan jawapan tersebut,” katanya.
Peguam: Jam berapa kejadian itu berlaku?
Ismanira: Lebih kurang jam 9.50 malam.
Peguam: Jam berapa Puan Ismanira lihat dengan mata sendiri jasad itu merupakan Zayn Rayyan?
Ismanira: Semasa di bilik mayat Hospital Sungai Buloh, lewat malam itu.
Ketika di unit forensik, Ismanira sayu ketika melihat anak sulungnya itu mengalami luka di kepala, matanya lebam, berdarah hidung dan mulut pula dalam keadaan tidak tertutup rapat.
Selain itu katanya, perut Zayn Rayyan juga kembung, kakinya kecut dan kulitnya bertukar menjadi putih serta mengeluarkan bau busuk.
Pada pagi Isnin, mahkamah membebaskan suaminya, Zaim Ikhwan Zahari berhubung kes terbabit, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.
Berbeza dengan Ismanira apabila mahkamah memerintahkannya membela diri atas pertuduhan berkenaan, di bawah seksyen terbabit.
Selain Haresh, pasangan suami isteri berusia 30 tahun itu turut diwakili peguam, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh.
Pendakwaan pula dikendalikan beberapa Timbalan Pendakwa Raya iaitu Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi.
Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan itu mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pengabaian terhadap anak mereka di Mahkamah Sesyen di sini.
Mengikut pertuduhan pindaan, pasangan itu didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, kerana telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai hingga ke kawasan sungai berdekatan, antara jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan jam 9.55 malam keesokannya.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.
Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang sebelum ditemui terbaring kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

