Penagih atau pedofilia yang 'buat' Zayn Rayyan - Ismanira

Mahkamah Sesyen melepaskan dan membebaskan Zaim Ikhwan daripada pertuduhan mengabaikan Zayn Rayyan, namun berbeza dengan Ismanira apabila mahkamah memerintahkannya membela diri atas pertuduhan berkenaan. Foto Bernama
Mahkamah Sesyen melepaskan dan membebaskan Zaim Ikhwan daripada pertuduhan mengabaikan Zayn Rayyan, namun berbeza dengan Ismanira apabila mahkamah memerintahkannya membela diri atas pertuduhan berkenaan. Foto Bernama
A
A
A

PETALING JAYA – Ibu Zayn Rayyan Abdul Matin memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin bahawa, penagih dadah atau ‘pedofilia’ iaitu seseorang yang mempunyai nafsu terlarang terhadap kanak-kanak, mampu melakukan jenayah terhadap anak kanak-kanak autisme itu.

Ismanira Abdul Manaf berkata demikian pada hari pertama perbicaraan bela diri, atas satu kes pengabaian dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap Zayn Rayyan di hadapan Hakim, Dr Syahliza Warnoh.

Ibu kepada dua anak itu berkata, maklumat berkenaan diperoleh selepas bertanya kepada pihak polis, berkaitan kecederaan yang dialami kanak-kanak istimewa tersebut.

Disoal peguamnya, Haresh Mahadevan, Ismanira yang bekerja sebagai kerani akaun berkata, ketika di unit forensik Hospital Sungai Buloh, Ismanira berkata, anak sulungnya itu mengalami luka di kepala, lebam di mata, darah di hidung dan mulut pula dalam keadaan tidak tertudup rapat.

Selain itu katanya, perut Zayn Rayyan juga kembung, kakinya kecut dan kulitnya bertukar menjadi putih dan mengeluarkan bau busuk.

Peguam: Puan Ismanira ada menghubungi pihak polis, bertanya siapa yang disyaki melakukan jenayah itu terhadap arwah.

Ismanira: Ada.

Peguam: Apa jawapan polis?

Ismanira: Dia kata ada beberapa suspek, tapi ia masih dalam siasatan, polis syak dua golongan itu mungkin melakukan kesalahan terhadap anak saya.

Artikel Berkaitan:

Pada pagi Isnin, mahkamah membebaskan suaminya, Zaim Ikhwan Zahari berhubung kes terbabit, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Berbeza dengan Ismanira apabila mahkamah memerintahkannya membela diri atas pertuduhan berkenaan, di bawah seksyen terbabit.

Selain Haresh, pasangan suami isteri berusia 30 tahun itu turut diwakili peguam, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh.

Pendakwaan pula dikendalikan beberapa Timbalan Pendakwa Raya iaitu Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi.

Perbicaraaan bersambung Selasa.

Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan itu mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pengabaian terhadap anak mereka di Mahkamah Sesyen di sini.

Mengikut pertuduhan pindaan, pasangan itu didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, kerana telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan, antara jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan jam 9.55 malam keesokannya.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, pada jam 10 malam.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang sebelum ditemui terbaring kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!