Kami hormat keputusan mahkamah, Ismanira akan beri keterangan penuh - Peguam

Haresh (kanan) dan Ramzani ketika ditemui pemberita di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.
Haresh (kanan) dan Ramzani ketika ditemui pemberita di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.
A
A
A

PETALING JAYA – Barisan peguam kepada pasangan suami isteri yang didakwa mengabaikan anak autisme mereka, Zayn Rayyan Abdul Matin, menghormati keputusan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya yang membebaskan bapa kanak-kanak itu, Zaim Ikhwan Zahari dan memerintahkan ibu, Ismanira Abdul Manaf, membela diri.

Peguam utama, Haresh Mahadevan berkata, pihak pembelaan menerima keputusan tersebut dengan tenang dan akan meneruskan prosiding pembelaan seperti ditetapkan oleh mahkamah.

“Kita hormat keputusan hakim. Zaim dibebaskan, Isma dipanggil untuk bela diri. Isma dah beri keterangan dari pagi sampai sekarang, pukul 5. Kita akan sambung semula esok,” ujarnya kepada media selepas tamat sesi petang prosiding di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya di sini pada Isnin.

Beliau turut memaklumkan, sesi soal balas oleh pihak pendakwaan dijangka dilakukan pada sebelah petang esok.

“Dan mungkin selepas tengah hari, pihak DPP akan cross-examine Isma,” ujarnya lagi.

Sementara itu, seorang lagi peguam mewakili pasangan tersebut, Ramzani Idris, menyifatkan keputusan mahkamah itu sebagai sesuatu yang biasa dalam perjalanan kes jenayah.

“Itu normal. Itu satu perkara biasa dalam kes macam ini. Jadi, kita tak terperanjat dan tiada masalah bagi kita,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai keadaan emosi anak guam mereka selepas keputusan diumumkan, Ramzani menjelaskan bahawa anak guamnya bersikap tenang dan bersedia meneruskan proses mahkamah.

“Dia biasa saja. Tak ada kata gembira, tak ada kata sedih. Ini satu proses yang biasa dan dia memang dah selalu ke mahkamah, jadi tak ada masalah,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!