Pasangan kekasih ditahan buat aksi 'wheelie'

KUANTAN - Tindakan berani seorang wanita membonceng motosikal yang ditunggang kekasihnya dalam keadaan berbahaya membawa padah apabila mereka ditahan polis dalam operasi samseng jalanan di sekitar bandar raya ini pada awal pagi Ahad.
Wanita berusia 24 tahun dan teman lelakinya yang lebih muda empat tahun antara 60 individu yang ditahan dan disaman dalam operasi yang berakhir kira-kira jam 6 pagi itu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintenden Mohd Adli Mat Daud berkata, pasangan itu ditahan selepas dikesan melakukan aksi ‘wheelie’ dengan menaikkan tayar hadapan motosikal jenis Honda EX5.
Menurutnya, tindakan tersebut jelas membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain.
“Kedua-dua mereka ditahan dan dibawa ke Balai Trafik Kuantan untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Mohd Adli berkata, dalam operasi tersebut, sebanyak 60 motosikal ditahan dan 139 notis saman lalu lintas telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan terhadap penunggang dan pembonceng berusia antara 13 hingga 22 tahun.

Beliau berkata, 19 motosikal turut disita di bawah Seksyen 64 akta yang sama.
“Saman tertinggi melibatkan kesalahan berkaitan lesen memandu dengan 30 saman, diikuti nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi (29 saman) dan tiada cermin sisi (22 saman).
“Saman turut dikeluarkan bagi kesalahan ekzos diubah suai (16 saman), tidak menampal pelekat lesen percubaan (13 saman), mengubah suai struktur motosikal (10 saman), brek tidak berfungsi (6 saman), cukai jalan tamat tempoh (4 saman) dan tiada insurans (4 saman),” katanya.
Tambah beliau, selebihnya saman dikeluarkan bagi kesalahan penunggang bawah umur dan tidak memakai topi keledar.
Sementara itu, katanya, operasi melibatkan 36 anggota, terdiri daripada pegawai dan anggota pelbagai bahagian dan turut dibantu oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang serta Pasukan Sukarelawan Polis (PVR) Kuantan.
Tegas beliau, pihak polis akan meneruskan operasi secara berterusan bagi membanteras kegiatan samseng jalanan demi keselamatan pengguna jalan raya.
“Orang ramai diseru agar mematuhi undang-undang lalu lintas dan tidak membahayakan nyawa sendiri serta orang lain,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

