Polis buru pemandu pikap samseng jalanan

Sebuah kenderaan pikap menghimpit sebuah Perodua Myvi dalam kejadian di Klang pada Khamis lalu. Foto: Tular
Sebuah kenderaan pikap menghimpit sebuah Perodua Myvi dalam kejadian di Klang pada Khamis lalu. Foto: Tular
A
A
A

KLANG - Polis sedang mengesan seorang pemandu sebuah kenderaan pikap yang tular selepas dipercayai menghimpit dan mengancam pemandu kenderaan lain di Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara menghala ke Lebuhraya Persekutuan, di sini pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan sekitar jam 6.15 petang.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika sebuah kenderaan pikap menghimpit dan melanggar sebuah kereta jenis Perodua Myvi ketika lalu lintas sesak.

“Lelaki itu juga bertindak mengancam pemandu kereta berkenaan sebelum melarikan diri dari tempat kejadian,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Seorang anggota polis trafik meleraikan tindakan pemandu pikap yang mengancam tindakan pemandu lain di Klang. Foto: Tular
Seorang anggota polis trafik meleraikan tindakan pemandu pikap yang mengancam tindakan pemandu lain di Klang. Foto: Tular

Menurutnya, seorang anggota trafik yang sedang menjalankan tugas di lebuh raya berkenaan kemudiannya meleraikan tindakan pemandu pacuan empat roda itu.

Tambahnya, pemandu tersebut kemudian melarikan diri.

Bagaimanapun, kata Vijaya Rao, pemandu Myvi itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Artikel Berkaitan:

“Polis kini sedang mengesan pemandu pikap itu untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Peraturan 10 dalam Peraturan-Peraturan Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59),” ujarnya.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian agar menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Sarjan Amsyairul Jamsaril di talian 013-5112603 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran.

Terdahulu, tular satu video rakaman kamera papan pemuka berhubung kejadian tersebut yang berlaku berhampiran sebuah pusat beli-belah di Bukit Raja.

Menerusi rakaman berdurasi lebih tiga minit itu, kenderaan pikap terbabit dilihat cuba menyelit dalam keadaan lalu lintas sesak dan bertindak memarahi pemandu lain yang tidak memberikan laluan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!