Bersih tuntut segera laksana reformasi lantikan kehakiman

SHAH ALAM - Pelantikan tiga hakim utama negara tidak bermakna proses reformasi pelantikan kehakiman bagi membebaskan institusi itu daripada campur tangan cabang eksekutif perlu terhenti.
Jawatankuasa Pemandu Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) berkata, ia merujuk khusus kepada Ketua Hakim Negara, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang pernah terlibat dalam politik UMNO, namun pada 2022 beliau mengambil keputusan menarik diri dari mendengar kes melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan penegasan mengelakkan persepsi negatif rakyat terhadap kebebasan institusi kehakiman.
"Penegasan sebegini amat penting untuk memastikan rakyat awam menghormati badan kehakiman sebagai badan yang mengangkat prinsip kedaulatan undang-undang.
"Bersih menegaskan prinsip tersebut harus terus didukung oleh beliau terutama ketika menjalankan tugas sebagai Ketua Hakim Negara.
"Kami mengalu-alukan lantikan tiga hakim utama negara iaitu Wan Ahmad Farid sebagai Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, Datuk Abu Bakar Jais sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan Datuk Azizah Nawawi sebagai Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, Wan Ahmad Farid yang juga Hakim Mahkamah Rayuan diumumkan sebagai Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan yang baharu menggantikan penyandang terdahulu, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang sudah bersara wajib.
Pelantikan beliau diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim selepas mendapat nasihat Perdana Menteri dan rundingan bersama Majlis Raja-Raja, menurut kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan pada Khamis.
Dalam kenyataan sama, turut diumumkan pelantikan Datuk Abu Bakar Jais sebagai Presiden Mahkamah Rayuan, manakala Datuk Azizah Nawawi dilantik sebagai Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak, menggantikan penyandang jawatan itu yang bakal bersara.
Majlis mengangkat sumpah dan menandatangani watikah pelantikan akan diadakan pada 28 Julai di Istana Negara di hadapan Sultan Ibrahim.
Tambah kenyataan itu, Bersih juga menuntut untuk kerajaan segera melaksanakan reformasi lantikan kehakiman terutamanya dengan mengurangkan kuasa Perdana Menteri dalam lantikan hakim-hakim.
"Ini termasuklah dengan mengiktiraf Suruhanjaya Lantikan Kehakiman (JAC) sebagai badan yang diiktiraf Perlembagaan Persekutuan.
"Komposisi dalam JAC juga perlu dirombak semula untuk mengurangkan kuota lantikan Perdana Menteri dalam keanggotaan JAC dengan memasukkan wakil daripada Majlis Peguam Malaysia, wakil Sabah Law Society dan Advocate Associates of Sarawak serta wakil daripada ahli akademik dan anggota masyarakat sivil yang berkelayakan.
"Selain itu, dari sudut pelantikan, Perdana Menteri perlu diwajibkan untuk memberikan alasan yang berasas kepada awam jika terdapat penolakan calon Hakim yang dicadangkan oleh JAC dan beliau hanya boleh menolaknya sebanyak sekali sahaja," katanya.
Sementara itu, Bersih turut menegaskan kerajaan harus laksanakan janji dan komitmen untuk menghormati doktrin pengasingan kuasa dengan menambahbaik sistem sedia ada.
"Krisis kehakiman terburuk yang berlaku pada tahun 1988 harus dijadikan sempadan oleh semua pihak khususnya kerajaan yang memperlihat rakyat sudah tidak lagi menghormati badan kehakiman," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

