Hubungan Malaysia-India capai tahap bersejarah - Anwar

KUALA LUMPUR - Hubungan dua hala antara Malaysia dan India kini mencapai tahap bersejarah, dipacu oleh momentum baharu dalam kerjasama ekonomi serta hubungan peribadi yang kukuh antara kedua-dua ketua kerajaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau "sangat teruja" dan menghargai lawatan rakan sejawatnya dari India, Narendra Modi, yang menunjukkan hubungan antara kedua-dua negara kini semakin kukuh.
Menyifatkan Modi sebagai "sahabat baik”, Anwar berkata, beliau bertuah mempunyai hubungan peribadi rapat dengan pemimpin India itu, yang berjaya menjelmakan niat diplomatik kepada hasil nyata.
"Ini bukan sekadar kenyataan retorik, tetapi telah membuahkan hasil.
"Perdagangan dua hala antara kedua-dua negara mencecah hampir AS$19 bilion pada 2025, dengan India kini antara rakan dagang utama Malaysia,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada acara anjuran komuniti India di Malaysia di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MIECC) dekat sini pada Sabtu.
Turut hadir ialah Modi, Menteri Luar India, Dr S Jaishankar serta pegawai kanan kerajaan kedua-dua negara.
Anwar turut menyatakan bahawa Modi merupakan antara pemimpin utama pertama yang melawat Malaysia menjelang sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), menandakan satu mercu tanda penting dalam hubungan diplomatik.
Mengenang sejarah negara, Perdana Menteri memberi penghargaan kepada komuniti India di Malaysia, menyifatkan mereka sebagai "rakan penting” dalam pembangunan negara.
"Apabila Malaysia memulakan projek besar membina sebuah negara daripada kepelbagaian, komuniti India - saudara dan saudari saya - menjadi rakan penting. Mereka membantu meletakkan asas ekonomi Malaysia yang mantap bersama jiran Melayu dan Cina,” katanya.
Anwar berkata, pembinaan negara sebenar berlaku "di bilik darjah, di tempat kerja, dan dalam kehidupan bersama,” sambil merujuk kepada warisan budaya yang boleh dilihat di kawasan Little India serta sambutan perayaan seperti Deepavali.
Modi memulakan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia bermula Sabtu atas jemputan Anwar, sebagai balasan kepada lawatan Perdana Menteri Malaysia ke India pada Ogos 2024.
India kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia di rantau Asia Selatan dengan jumlah perdagangan antara kedua-dua negara mencecah AS$18.59 bilion (RM79.49 bilion) pada 2025. - Bernama
Ringkasan AI
- Hubungan Malaysia dan India kini mencapai tahap bersejarah dengan peningkatan kerjasama ekonomi
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim menghargai lawatan Narendra Modi, menunjukkan hubungan kukuh antara kedua negara
- Anwar mempunyai hubungan peribadi rapat dengan Modi yang berjaya menjelmakan niat diplomatik kepada hasil nyata
- Perdagangan dua hala dijangka mencecah hampir AS$19 bilion pada 2025, menjadikan India antara rakan dagang utama Malaysia
- Modi merupakan antara pemimpin utama pertama yang melawat Malaysia menjelang sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
