Malaysia rakan dipercayai, diaspora India sebagai jambatan antara negara - Modi

Anwar (kanan) dan Modi (kiri), melambai kepada masyarakat India dari atas pentas semasa Program Komuniti India di MIECC pada Sabtu. Foto Bernama
Anwar (kanan) dan Modi (kiri), melambai kepada masyarakat India dari atas pentas semasa Program Komuniti India di MIECC pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

SERI KEMBANGAN - Perdana Menteri India, Narendra Modi pada Sabtu menyifatkan Malaysia sebagai rakan kongsi yang rapat dan dipercayai, sambil menekankan peranan penting diaspora India sebagai 'jambatan hidup' yang mengukuhkan Perkongsian Strategik Komprehensif antara kedua-dua negara.

Berucap di hadapan lebih 10,000 hadirin dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta orang kenamaan kedua-dua negara, Modi berkata, hubungan India-Malaysia kini mencecah tahap baharu setiap tahun, didorong oleh hubungan rakyat dengan rakyat yang teguh serta kerjasama strategik yang semakin berkembang.

Beliau menarik perhatian bahawa hubungan dua hala memasuki fasa baharu selepas kedua-dua pemimpin meningkatkan status hubungan kepada Perkongsian Strategik Komprehensif semasa lawatan Anwar ke New Delhi pada 2024.

"Hari ini, kita berjalan seiring sebagai rakan kongsi ke arah kemajuan dan kemakmuran... kejayaan India adalah kejayaan Malaysia - ia adalah kejayaan Asia," katanya dalam ucapan khas pada acara 'Selamat Datang Modi Ji' anjuran komuniti India di Malaysia di Pusat Konvensyen dan Pameran  Antarabangsa MINES (MIECC) di sini, pada Sabtu.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada penganjur kerana berjaya mempamerkan persembahan kebudayaan yang memecah rekod melibatkan lebih 800 peserta, dan menyifatkannya sebagai "simbol perpaduan dan keharmonian yang akan diingati sehingga tahun-tahun mendatang."

Modi tiba di Kuala Lumpur pada Sabtu untuk lawatan rasmi dua hari atas jemputan Anwar.

Menyifatkan Malaysia sebagai penempatan komuniti kedua terbesar berasal dari India di dunia, beliau berkata, diaspora berkenaan kekal sebagai 'jambatan hidup' yang menghubungkan sejarah, tradisi, dan aspirasi kedua-dua negara.

Beliau berkata, hubungan sesama rakyat terus menguatkan hubungan India-Malaysia.

"Anda telah menghubungkan makanan, bahasa, dan budaya kita. Kita memahami satu sama lain secara semula jadi," katanya sambil menyentuh mengenai populariti filem serta muzik India di peringkat tempatan, selain secara berseloroh merujuk kepada video Anwar menyanyikan lagu Hindi yang tular di India semasa lawatan rasmi beliau ke republik itu pada 2024.

Artikel Berkaitan:

Modi turut menzahirkan penghargaan khas kepada Anwar kerana menyambut ketibaannya dan mengiringi beliau ke majlis itu.

"Gerak isyarat istimewa beliau mencerminkan kasih sayang dan hormatnya terhadap India serta anda semua. Saya berterima kasih atas layanan mesra dan persahabatan ini," katanya.

Modi memuji kepimpinan Anwar yang membawa agenda reformasi Malaysia serta peranan negara itu dalam mengurus selia ASEAN, sambil menarik perhatian bahawa kedua-dua negara berkongsi visi yang sama bagi memastikan kestabilan dan kemakmuran serantau.

Dalam pada itu, Modi turut mengimbas kembali solidariti yang ditunjukkan rakyat Malaysia semasa gempa bumi Gujarat 2001 dan memuji komuniti itu kerana memelihara warisan mereka melalui ratusan sekolah yang mengajar bahasa serta nilai India yang diinspirasikan oleh  tokoh seperti Thiruvalluvar dan Swami Vivekananda.

"Terinspirasi oleh sejarah ini, kami berbangga dengan penubuhan Kerusi Thiruvalluvar di Universiti Malaya. Kami kini akan menubuhkan Pusat Thiruvalluvar untuk memperkukuh lagi warisan bersama kita," katanya.

Beliau turut mengumumkan langkah-langkah untuk memperdalam kesalinghubungan, termasuk biasiswa untuk pelajar Malaysia keturunan India, kelayakan kad OCI yang dilanjutkan sehingga generasi keenam, pertukaran belia, dan rancangan untuk membuka konsulat baharu India di Malaysia.

Modi turut menjemput rakyat Malaysia melawat India dan menekankan bahawa hubungan rakyat kekal sebagai teras perkongsian, memandangkan India kini antara ekonomi utama yang paling pesat berkembang di dunia ke arah menjadi negara maju menjelang 2047.

India akan sentiasa menyambut anda dengan tangan terbuka. Bersama-sama, kita boleh membina masa depan pertumbuhan dan kemakmuran bersama," katanya. - Bernama

 

 

 

Ringkasan AI

  • Perdana Menteri India, Narendra Modi menyifatkan Malaysia sebagai rakan kongsi yang rapat dan dipercayai
  • Modi menyatakan hubungan India-Malaysia terus berkembang melalui kerjasama rakyat dengan rakyat dan strategik
  • Kedua-dua negara meningkatkan hubungan kepada Perkongsian Strategik Komprehensif semasa lawatan Anwar ke New Delhi
  • Modi mengumumkan langkah memperdalam hubungan termasuk biasiswa untuk pelajar Malaysia dan pembukaan konsulat baru India di Malaysia
  • Diaspora India di Malaysia digambarkan sebagai 'jambatan hidup' yang menghubungkan kedua-dua negara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!