Lantikan tiga hakim baharu diharap tamatkan usaha pihak mahu tubuh RCI

Noorazmir
Noorazmir
A
A
A

SHAH ALAM - Pengumuman pelantikan Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan beserta Hakim Besar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak pada Khamis diharap dapat menamatkan usaha sesetengah pihak yang ingin Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat perkara berkenaan.

Ketua Kluster Komunikasi Kanun (Biro Undang-Undang) Parti Amanah Negara (Amanah), Noorazmir Zakaria berkata, pihaknya menjunjung kasih terhadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Majlis Raja-Raja yang bertindak di bawah Perkara 122B (1) Perlembagaan Persekutuan atas nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memperkenan pelantikan ketiga-tiga individu bagi jawatan tersebut.

Peguam terbabit berpendapat, pelantikan dibuat penuh tertib, malah isu kontroversi yang cuba dipolitikkan segelintir pihak itu akhirnya berjaya diselesaikan.

“Kanun mengucapkan jutaan tahniah kepada para hakim yang dilantik ini dan berharap mereka terus memastikan prinsip kebebasan kehakiman di bawah Perlembagaan Persekutuan terus dijunjung agar keadilan dapat ditegakkan.

“Kami gembira kerana pelantikan tersebut dibuat dengan penuh tertib dan adab yang sepatutnya.

“Dengan pelantikan ini, maka tidak timbul lagi usaha sesetengah pihak untuk menubuhkan RCI bagi menyiasat perkara terbabit atau mengadakan apa-apa perhimpunan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh diumumkan sebagai Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan baharu bagi menggantikan penyandang terdahulu, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang sudah bersara wajib.

Perkara itu dimaklumkan menerusi kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan pada Khamis.

Dalam kenyataan sama, turut diumumkan pelantikan Datuk Abu Bakar Jais sebagai Presiden Mahkamah Rayuan, manakala Datuk Azizah Nawawi dilantik menjadi Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak, menggantikan penyandang jawatan itu yang bakal bersara.

Artikel Berkaitan:

Majlis mengangkat sumpah dan menandatangani watikah pelantikan akan diadakan pada 28 Julai ini di Istana Negara di hadapan Sultan Ibrahim.

Mengulas lanjut, Noorazmir turut berharap bahawa pelantikan ketiga-tiga hakim berkenaan mampu menyelesaikan pelbagai permasalahan kehakiman yang berbangkit.

“Pelantikan ini diharap dapat menyelesaikan isu kehakiman yang berbangkit seperti kekurangan hakim.

“Selain itu, isu untuk mendapat tarikh bicara yang kini pihak litigan terpaksa menunggu lama,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!