Latar belakang politik tidak wajar jadi halangan pelantikan Ketua Hakim Negara – Pembela

SHAH ALAM – Latar belakang politik seseorang sebelum menyertai badan kehakiman tidak seharusnya menjadi penghalang untuk dilantik sebagai Ketua Hakim Negara.
Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar menegaskan, individu yang pernah aktif dalam politik tetapi telah menjalankan tugas sebagai hakim secara adil dan profesional wajar dinilai berdasarkan prestasi mereka di atas bangku kehakiman, bukan latar belakang lampau.
“Ketua Hakim Negara, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh memang pernah bertanding dalam pilihan raya atas tiket Barisan Nasional (BN) dan menjawat jawatan Timbalan Menteri serta Setiausaha Politik, tetapi itu berlaku sebelum beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman.
“Setelah menyertai badan kehakiman, beliau tidak lagi aktif sebagai ahli politik dan telah menjalankan tugas kehakiman dengan baik,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut Zainul Rijal, terdapat juga contoh bekas calon parti pembangkang seperti Pas yang pernah dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman, seterusnya menjadi Hakim Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelum bersara.
“Ini bukan perkara asing dalam sejarah kehakiman. Yang penting kita teliti penghakiman mereka semasa menjadi hakim, bukan menilai kecenderungan politik lampau,” jelas beliau.
Dalam masa sama, beliau berpandangan isu pelantikan Ketua Hakim Negara yang dilihat sebagai ‘melompat jawatan’ tidak wajar dijadikan polemik kerana ia bukan sesuatu yang baharu.
“Ketua Hakim Negara sebelum ini pun ada yang melalui laluan yang sama. Pada hemat saya, adalah lebih baik jika pelantikan berpandukan kekananan, namun ia bukan syarat mutlak menurut Perlembagaan Persekutuan.
“Yang paling utama, Ketua Hakim Negara mesti memiliki integriti, bersih daripada sebarang skandal dan membuat keputusan secara bebas dan adil,” tambahnya.
Zainul Rijal turut menyatakan keyakinan bahawa Wan Ahmad Farid ialah tokoh yang berwibawa dan berhikmah walaupun belum pernah menduduki kerusi Hakim Mahkamah Persekutuan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

