AMK sambut baik pelantikan Ketua Hakim Negara baharu

Wan Ahmad Farid
Wan Ahmad Farid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyambut baik pelantikan tiga tokoh kehakiman tertinggi negara yang disifatkan sebagai langkah memperkukuh institusi keadilan.

Ketua Biro Guaman & Aduan Awam AMK, Khairul Naim Rafidi berkata, pelantikan tersebut seperti diumumkan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dan diperkenan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan merupakan amanah besar yang perlu digalas dengan penuh integriti.

Mereka yang dilantik ialah Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Ketua Hakim Negara, Datuk Abu Bakar Jais sebagai Presiden Mahkamah Rayuan, dan Datuk Azizah Nawawi sebagai Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak.

“Pelantikan ini berlaku dalam saat penting negara memperkukuh keyakinan terhadap institusi keadilan. Jawatan ini bukan sekadar kedudukan tinggi, tetapi amanah besar yang menuntut ketulusan niat, keberanian membuat keputusan yang benar, dan keinsafan bahawa setiap tindakan memberi kesan kepada hidup manusia,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Khairul Naim berkata, keadilan merupakan asas tamadun yang membawa kemakmuran dan keberkatan pemerintahan serta kekal relevan merentasi zaman.

Seiring komitmen kerajaan terhadap agenda reformasi institusi, katanya, sudah tiba masa untuk menilai semula proses pelantikan kehakiman termasuk peranan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), mekanisme pencalonan serta keperluan menegakkan keseimbangan kuasa antara cabang eksekutif, legislatif dan kehakiman seperti termaktub dalam Perlembagaan.

“Pembaharuan yang matang dan berhemah akan mengukuhkan lagi kepercayaan rakyat terhadap badan kehakiman,” ujarnya.

Beliau menegaskan AMK kekal komited dalam menyokong pembinaan sistem keadilan yang bebas, telus dan berintegriti, demi Malaysia yang lebih adil dan bermaruah untuk semua.

 

Artikel Berkaitan:

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!