MCMC siasat individu muat naik kandungan palsu, jelik berkaitan Ketua Hakim Negara

SHAH ALAM - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menjalankan siasatan terhadap seorang individu yang disyaki memuat naik kandungan berunsur palsu dan jelik melampau melalui akaun Instagram miliknya.
Menurut MCMC, berdasarkan aduan yang diterima, individu tersebut dipercayai telah memuat naik satu hantaran palsu berkaitan isu pelantikan Ketua Hakim Negara.
"Bagi membantu siasatan, sesi rakaman percakapan telah dijalankan pada 2.30 petang pada Jumaat di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya. Turut disita sebuah telefon bimbit dan satu unit kad sim.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambahnya, MCMC memandang serius terhadap penyebaran kandungan palsu dan jelik melampau yang menyentuh integriti institusi kehakiman negara.
Ujarnya, penyalahgunaan media sosial untuk tujuan sedemikian boleh menggugat kepercayaan awam dan ketenteraman negara dan tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

