Warga emas didenda RM6,000 beri maklumat palsu kepada JPN

KUANTAN – Seorang lelaki warga emas didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Kuantan pada Jumaat selepas mengaku bersalah memberikan maklumat palsu semasa membuat permohonan kad pengenalan untuk seorang kanak-kanak kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman menjatuhkan hukuman itu terhadap Abdah Said, 65, dan memerintahkan dia dipenjara selama 10 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Berdasarkan pertuduhan, Abdah didakwa memberikan maklumat palsu dalam butiran material semasa membuat permohonan kad pengenalan 12 tahun untuk seorang kanak-kanak dengan menggunakan sijil kelahiran anaknya.
Kesalahan itu dilakukan di kaunter JPN Negeri Pahang dalam daerah Kuantan pada jam 9.49 pagi, 28 September 2012.
Dia didakwa mengikut Peraturan 25(1)(b), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, dan boleh dihukum di bawah peraturan sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Abdah yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman diringankan atas alasan dia sudah berusia, tidak bekerja dan mempunyai tiga anak.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa JPN, Mohammad Yusaini Yunan memohon hukuman setimpal dikenakan memandangkan kesalahan tersebut bersifat serius kerana melibatkan dokumen rasmi negara.
Pendakwaan turut dibantu oleh Penolong Pegawai Pendakwa JPN, Burhanuddin Hamzah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

