Bekas banduan warga emas dalang proses, edar dadah

Mohd Alwi (kanan) menunjukkan dadah yang dirampas dari sindeket dalam serbuan yang dilakukan pada Rabu di Jelutong.
Mohd Alwi (kanan) menunjukkan dadah yang dirampas dari sindeket dalam serbuan yang dilakukan pada Rabu di Jelutong.
A
A
A

GEORGE TOWN - Seorang bekas banduan warga emas diberkas polis selepas terbabit dalam kegiatan memproses dan mengedar dadah jenis Methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) bernilai lebih RM2.3 juta.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, lelaki berusia 62 tahun yang belum cukup setahun dibebaskan dari penjara ditangkap bersama seorang rakannya berusia 40 tahun dalam operasi khas yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang pada Rabu.

Menurutnya, suspek warga emas ditangkap di sebuah kediaman di Jelutong, sebelum suspek kedua ditahan di lokasi sama tidak lama kemudian.

"Dalam serbuan itu, kita merampas 150 paket plastik berwarna keemasan dan biru serta sembilan botol pelbagai saiz berisi serbuk MDMA seberat 13,465 gram.

"Turut dirampas dua biji pil ekstasi, satu biji pil Erimin 5 dan peralatan memproses dadah, selain wang tunai RM1,220 serta dua buah kereta jenis Kia dan Volkswagen Passat," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen Pulau Pinang, di sini pada Jumaat.

Mohd Alwi berkata, kesemua nilai rampasan dadah dan sitaan harta dianggarkan berjumlah RM2,319,995.

Mengulas lanjut, Mohd Alwi berkata, siasatan mendapati suspek warga emas mempunyai kepakaran dalam memproses dadah.

Jelasnya, sindiket berkenaan dipercayai kembali aktif sejak Mac lalu dengan menjadikan rumah sewa itu sebagai makmal dan stor simpanan dadah.

"Dadah yang siap diproses itu dipercayai dijual di pusat hiburan tempatan dengan harga jualan RM300 bagi setiap paket.

Artikel Berkaitan:

"Ujian saringan air kencing yang dilakukan mendapati kedua-dua suspek positif dadah dan mereka kini direman selama tujuh hari sehingga 23 Julai depan bagi membantu siasatan,"katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!