Jangan beri ‘harapan palsu’ kepada pembeli durian - KPDN

SEREMBAN – Peniaga durian diingatkan agar tidak memberi ‘harapan palsu’ kepada pelanggan dengan mengiklankan harga yang mengelirukan terutamanya sepanjang musim raja buah yang sedang berlangsung ketika ini.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata, peniaga juga diwajibkan mempamerkan tanda harga dengan jelas mengikut jenis durian yang dijual.
“Memandangkan musim raja buah kini kembali, saya ingin menasihatkan peniaga supaya mempamerkan tanda harga dengan jelas dan tidak mengelirukan. Jangan beri ‘harapan palsu’ kepada pelanggan.
“Ada sesetengah peniaga hanya memaklumkan harga apabila ditanya, sedangkan ia sepatutnya dipamerkan sejak awal,” katanya kepada Sinar Harian, pada Rabu.
Menurutnya, peniaga turut diingatkan untuk menggunakan alat timbang dan sukat yang telah ditentusahkan, bagi memastikan keadilan kepada pengguna.
Beliau memaklumkan, walaupun sehingga kini tiada sebarang aduan rasmi diterima pihaknya berhubung ketidakpuasan hati terhadap peniaga durian, namun pemantauan secara aktif akan dilaksanakan menerusi Ops Duri sepanjang musim durian berlangsung.
“Kami minta orang ramai tampil membuat aduan sekiranya mendapati peniaga durian tidak jujur supaya tindakan sewajarnya dapat diambil,” katanya.
Tambah beliau, berdasarkan pemantauan semasa, harga durian yang ditawarkan di pasaran dilihat masih berpatutan, bergantung kepada jenis dan gred buah.
“Tapi tepuk dada tanya selera, ikutlah kemampuan dan pilihan masing-masing sama ada nak beli jenis kampung, Musang King, D24 atau lain-lain,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

