Israel akhirnya 'tunduk' kepada AS - Khamenei

Ayatollah Seyyed Ali Khamenei berucap dalam pertemuan bersama pegawai kanan badan kehakiman di Teheran pada 16 Julai 2025. – Foto IRNA
Ayatollah Seyyed Ali Khamenei berucap dalam pertemuan bersama pegawai kanan badan kehakiman di Teheran pada 16 Julai 2025. – Foto IRNA
A
A
A

TEHERAN – Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Seyyed Ali Khamenei menyatakan bahawa rejim Zionis Israel akhirnya 'tunduk dan bergantung' kepada Amerika Syarikat (AS) untuk menghentikan konflik 12 hari dengan Iran, selepas gagal menghadapi kekuatan Republik Islam itu secara bersendirian.

Dalam pertemuan bersama para pegawai kanan kehakiman Iran, Ayatollah Khamenei berkata, konfrontasi terbaharu ini membuktikan kekuatan ketenteraan dan kesatuan rakyat Iran.

“Rejim Zionis akhirnya tersungkur ke tanah, merayu kepada Amerika Syarikat.

"Jika mereka benar-benar mampu bertahan, mereka tidak akan bertindak sedemikian,” tegasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa Iran tidak akan memasuki sebarang medan sama ada diplomatik atau ketenteraan sebagai pihak yang lemah.

Khamenei turut menyifatkan serangan balas Iran terhadap pangkalan AS di Qatar sebagai 'sangat sensitif', dan mendakwa kesannya akan lebih jelas apabila sekatan media ditarik balik.

Serangan Israel pada 13 Jun lalu menyasarkan pegawai kanan tentera, saintis nuklear, dan orang awam di Iran.

AS kemudian turut serta dengan mengebom tiga tapak nuklear Iran. Sebagai tindak balas, Iran melancarkan serangan ke atas sasaran strategik di wilayah pendudukan dan pangkalan AS.

Khamenei berkata, musuh cuba melemahkan Iran melalui pembunuhan sasaran dan operasi psikologi, serta merancang rusuhan dalaman. Namun, katanya, kesedaran rakyat telah menggagalkan rancangan itu.

Artikel Berkaitan:

Beliau menyeru agar sistem kehakiman Iran tegas membawa kes-kes ini ke mahkamah domestik dan antarabangsa.

“Meskipun proses ini memakan masa puluhan tahun, pelaku jenayah tetap mesti dipertanggungjawabkan,” katanya. -Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!