Gelombang protes anti-Trump gegar Amerika Syarikat
Protes yang dianjurkan oleh kumpulan 'Hands Off!' itu untuk menggerakkan kesedaran pengundi terhadap kebimbangan dasar pentadbiran Trump

WASHINGTON – Ribuan penunjuk perasaan berkumpul berhampiran Rumah Putih pada Sabtu bagi membantah dasar Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dalam siri demonstrasi besar-besaran yang berlangsung di seluruh negara.
Protes yang berlangsung di Taman Lafayette Square itu dianjurkan sebagai sebahagian daripada usaha kumpulan 'Hands Off!' untuk menggerakkan kesedaran pengundi terhadap kebimbangan dasar pentadbiran Trump dan penggunaan kuasa eksekutif secara berleluasa.
Antara isu yang mencetuskan kemarahan penunjuk perasaan ialah kes Kilmar Abrego Garcia, seorang individu yang didakwa tersilap dihantar pulang ke El Salvador oleh pihak berkuasa imigresen AS.
Menurut pentadbiran Trump, Abrego Garcia adalah ahli kumpulan samseng, namun rekod mahkamah menunjukkan beliau tidak pernah didakwa atas sebarang kesalahan jenayah di AS mahupun El Salvador. Isteri dan peguamnya juga menafikan beliau terlibat dengan mana-mana kumpulan jenayah.
"Setiap orang berhak mendapat proses perundangan yang adil. Tiada sesiapa patut diambil dan dipenjarakan begitu sahaja tanpa mengira latar belakang mereka," kata Susie Stern, seorang penunjuk perasaan dari Ohio.
Tunjuk perasaan itu turut mengecam tindakan pentadbiran Trump yang didakwa mengingkari keputusan mahkamah persekutuan, termasuk arahan Mahkamah Agung supaya Abrego Garcia dibenarkan kembali ke Amerika Syarikat.
"Ini sangat membimbangkan kerana ia mencabar prinsip kedaulatan undang-undang dan demokrasi," kata Samantha Echols, peserta protes dari Silver Spring, Maryland.
Di New York, ribuan penunjuk perasaan berhimpun di hadapan Perpustakaan Awam New York, membantah dasar imigresen Trump yang didakwa menimbulkan ketakutan dalam kalangan penduduk.
"Orang ramai kini takut untuk ke gereja, tempat kerja, malah menghantar anak ke sekolah," ujar Amanda Harvey, penduduk Brooklyn.
Di Georgia, dua protes diadakan termasuk di hadapan bangunan Capitol Negeri, menyuarakan kebimbangan terhadap pelbagai isu, termasuk tindakan Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk yang didakwa berusaha menggugat program sosial seperti Medicare, Medicaid dan Keselamatan Sosial.
"Setiap hari ada sahaja serangan baharu terhadap hak rakyat," kata seorang penunjuk perasaan di Georgia.
Gerakan Hands Off! yang dikoordinasi oleh kumpulan 50501, menganjurkan hampir 700 acara di seluruh negara pada hari Sabtu, termasuk acara 'Potluck & Protest' di Utah, 'Tesla Takedown' di Virginia dan 'Take America Back' di Michigan.
Protes ini juga hadir ketika Parti Demokrat meningkatkan usaha menentang agenda Trump, satu tuntutan utama dalam kalangan pengundi mereka.
Tinjauan NBC News pada Mac lalu mendapati hampir dua pertiga pengundi Demokrat mahu pemimpin parti mereka kekal bertegas walaupun berisiko menyebabkan kebuntuan politik.
Dalam pada itu, Senator Bernie Sanders dan Wakil Rakyat Alexandria Ocasio-Cortez melancarkan jelajah 'Fighting Oligarchy Tour' di seluruh negara, menarik lebih 30,000 penyokong di Los Angeles pada minggu lalu.
Mengulas mengenai gelombang protes itu, Ketua Minoriti Senat, Chuck Schumer berkata, “Sentimen awam adalah segalanya dan sentimen itu kini semakin memihak kepada perubahan apabila rakyat berdepan kos sara hidup meningkat dan kebebasan yang semakin terhad di bawah kepimpinan Trump yang huru-hara dan gagal.” - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!