Malaysia perkenal pelancongan masjid sebagai produk baharu Tahun Melawat Malaysia 2026

KOTA BHARU – Selepas sedekad mendominasi pelancongan mesra Muslim dunia, Malaysia kini memacu pendekatan baharu dengan menjadikan pelancongan masjid sebagai antara produk utama menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, langkah strategik itu merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh kedudukan Malaysia yang kekal berada di tangga teratas dalam Global Muslim Travel Index (GMTI) selama 10 tahun berturut-turut.
Menurutnya, pembangunan pelancongan masjid bukan sekadar inisiatif jangka pendek, sebaliknya akan menjadi satu cabang pelancongan khusus yang mencerminkan identiti Islam Malaysia kepada dunia.
“Kita tak boleh hanya hidangkan produk lama, perlu tampilkan satu cabang baharu yang belum pernah dilakukan negara lain.
“Terutama masjid, bukan sekadar tempat ibadat tapi ruang warisan, seni bina, budaya dan komuniti yang menampilkan wajah sebenar Islam di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penutupan Persidangan Meja Bulat Pelancongan Masjid dan Pelancaran Direktori Masjid Pelancongan di sebuah hotel di sini pada Isnin.
Hadir sama, Pengarah Kanan Bahagian Dakwah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Dr Muhammad Yamin Ismail dan Pemangku Ketua Pengarah Islamic Tourism Centre (ITC), Nur Alyssa Coraline Yussin.
Mengulas lanjut, Khairul Firdaus berkata, Direktori Masjid Pelancongan secara digital yang dibangunkan oleh ITC dengan kerjasama JAKIM itu disifatkan sebagai langkah penting memperkenalkan masjid sebagai produk pelancongan unik kepada dunia.
Katanya, direktori tersebut bukan sekadar senarai lokasi, malah menjadi platform strategik dan panduan mesra pengguna untuk pelancong serta pemain industri pelancongan mengakses maklumat berkaitan sejarah, komuniti, kemudahan dan tarikan pelancongan berdekatan.
“Sebanyak 51 masjid dari seluruh negara disenaraikan dalam direktori fasa pertama melalui pemilihan berdasarkan nilai warisan, lokasi strategik, aktiviti komuniti dan kemudahan mesra pelancong.
“Direktori Masjid Pelancongan boleh diakses dalam versi digital di laman sesawang mymuslimtrip.com,” katanya.
Menurutnya, pelancongan masjid juga berperanan sebagai jambatan kefahaman antara budaya dan agama, menerusi pendekatan terbuka serta harmoni yang diketengahkan dalam pelbagai program.
“Melalui inisiatif seperti Mosque Open Day, kami persembahkan elemen warisan, makanan tradisional dan aktiviti seni Islam kepada semua termasuk bukan Muslim.
“Kami tonjolkan wajah Islam Malaysia yang bersih, berbudaya dan penuh kesederhanaan,” katanya.
Khairul Firdaus turut memaklumkan bahawa JAKIM kini sedang membangunkan satu garis panduan khas bagi memastikan pelaksanaan pelancongan masjid kekal teratur serta tidak menjejaskan kesucian rumah ibadat berkenaan.
“Islam menitikberatkan kesucian dan kebersihan, jadi pelancongan masjid tak boleh dilaksanakan secara sambil lewa.
“Peranan pengurusan masjid dan komuniti sangat penting untuk memastikan keseimbangan antara ibadat dan lawatan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

