KKM bentang RUU Optometri Oktober depan, bendung penjualan kanta lekap dalam talian

Dzulkefly
Dzulkefly
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) bercadang untuk membentangkan Rang Undang-Undang Optometri (RUU Optometri) di Parlimen pada Oktober depan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, RUU berkenaan bagi memperkemas pengawalseliaan amalan optometri lebih jelas, selamat dan berakauntabiliti.

Menurutnya, ia termasuk mengekang penjualan kanta lekap kosmetik secara dalam talian yang tidak dapat ditangani melalui undang-undang sedia ada iaitu Akta Optik 1991 (Akta 469).

"Sebagai langkah mengawal penjualan kanta lekap kosmetik secara dalam talian yang berisiko menjejaskan keselamatan mata pengguna, KKM telah mengeluarkan Garis Panduan Penjualan Alat Optik dan Kanta Lekap Secara Dalam Talian sejak tahun 2021.

"Panduan ini menggariskan penjualan kanta lekap secara dalam talian yang hanya dibenarkan kepada optometris dan juruoptik, dengan syarat dan terma tertentu," katanya ketika sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Dalam pada itu menjawab soalan tambahan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) mengenai laporan kes komplikasi mata susulan penggunaan kanta lekap kosmetik tanpa preskripsi, Dzulkefly memaklumkan, sebanyak 103 kes dicatatkan pada tahun 2007 dan 109 kes pada 2013.

Justeru beliau menegaskan, KKM sedang bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) yang mempunyai punca kuasa untuk bertindak dalam penguatkuasaan penjualan kanta lekap kosmetik haram.

Selain itu Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor memaklumkan, kementerian itu turut melaksanakan sesi libat urus bersama 12 persatuan optometri dan juruoptik, lapan institusi pendidikan tinggi, sembilan wakil industri dan masing-masing satu kementerian dan agensi di bawah KKM bagi mendapatkan pandangan.

"Untuk makluman, ketika ini seramai 3,458 pengamal optometri dan 3,609 juruoptik direkodkan, menjadikan keseluruhan seramai 7,067 yang berdaftar dengan kementerian.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini KKM juga mempunyai 30 pegawai optometri yang dilatih untuk menjalankan penguatkuasaan," ujarnya.

habis//

Ringkasan AI

  • KKM bercadang untuk membentangkan RUU Optometri di Parlimen pada Oktober depan
  • RUU tersebut bertujuan memperkemas pengawalseliaan amalan optometri untuk keselamatan dan berakauntabiliti
  • Termasuk juga mengekang penjualan kanta lekap kosmetik secara dalam talian
  • Panduan penjualan kanta lekap secara dalam talian dibenarkan hanya kepada optometris dan juruoptik dengan syarat tertentu
  • KKM bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan untuk menguatkuasakan penjualan kanta lekap kosmetik haram

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!