[VIDEO] KPM pantau pemulihan emosi, kebajikan Putri Qisya
ALOR SETAR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengarahkan pihak Sekolah Kebangsaan Seberang Perak Baru agar memantau secara dekat keadaan emosi dan psikososial murid Tahun Enam, Putri Qisya Nur Izzat, 12, yang kehilangan seluruh ahli keluarganya dalam tragedi Sungai Korok yang berlaku pada Isnin lalu.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kementerian memberi penekanan serius terhadap aspek kesejahteraan pelajar tersebut, selain turut menyerahkan bayaran tuntutan insurans takaful serta sumbangan kebajikan daripada KPM dan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah.
“Kami mengambil tanggungjawab penuh terhadap kebajikan Putri Qisya selagi beliau berada dalam sistem pendidikan di bawah KPM. Guru besar dan guru kelas telah diminta untuk memberi keutamaan kepada sokongan emosi dan psikososial,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan sumbangan di sekolah berkenaan, hari ini.

Fadhlina turut memuji semangat luar biasa yang ditunjukkan oleh Putri Qisya yang menyatakan hasrat untuk menjadi juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan kini menetapkan sasaran untuk menyambung pelajaran di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).
Menurutnya lagi, selain guru kelas dan kaunselor sekolah, Putri Qisya turut menerima sesi kaunseling berkala daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebagai sebahagian daripada proses pemulihan emosi.
“Walaupun beliau masih belum kembali sepenuhnya ke sesi persekolahan, pihak sekolah dan keluarga telah bersetuju untuk memberikan ruang bagi proses pemulihan terlebih dahulu.
“Bila-bila masa beliau bersedia, pihak sekolah akan menyambutnya dengan sokongan penuh,” katanya.

Fadhlina juga memaklumkan bahawa pertemuan bersama keluarga angkat pelajar itu termasuk ibu dan bapa saudara menunjukkan tiada isu berbangkit mengenai lokasi persekolahan ketika ini.
Bagaimanapun, kemungkinan berpindah ke sekolah berasrama akan dipertimbangkan apabila memasuki Tingkatan Satu kelak.
KPM turut merakamkan penghargaan kepada keluarga angkat atas komitmen mereka dalam menjaga dan menyokong perjalanan pendidikan Putri Qisya.
“Kami di KPM sentiasa mendoakan agar Putri Qisya diberi kekuatan dan kejayaan dalam pelajaran serta kehidupan seharian.
“Meskipun belum memulakan persekolahan sepenuhnya, kita sokong beliau dari segi sosial dan emosi terlebih dahulu. Apabila beliau kembali, kita pastikan ia dalam keadaan bersedia sepenuhnya,” ujar Fadhlina.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa dalam tragedi menyayat hati pada 7 Julai lalu, Putri Qisya kehilangan kedua-dua ibu bapanya, Mohamad Azim Izat Ishak, 32, dan Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta empat adik-beradiknya selepas kereta dinaiki mereka terjunam ke dalam Terusan Sungai Korok.
Empat adik mangsa yang turut terkorban ialah Putra Rayyan Nur Izzat, 9; Hawa Adriana Nur Izzat, 8; Annayla Humaira Nur Izzat, 7; dan Tuah Haydar, enam bulan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

