Latihan etika, integriti wajib dilaksana berkala bendung rasuah

Hamdan Daniel
Hamdan Daniel
A
A
A

SHAH ALAM - Latihan etika dan integriti wajib diadakan secara berkala bagi semua pegawai bukan hanya sebagai formaliti tetapi satu bentuk pembentukan karakter serta tanggungjawab moral terhadap jawatan yang disandang.

Pengerusi Gabungan Rasuah Busters Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Profesor Dr Hamdan Daniel M Sharib berkata, ia salah satu langkah bertepatan dalam usaha membanteras rasuah serta menambah baik tadbir urus dalam sesebuah organisasi.

"Selain itu, mekanisme pengawasan dalaman juga perlu diperketatkan. Jabatan dan agensi perlu mewujudkan unit audit dalaman yang bebas serta sistem pelaporan yang telus untuk membolehkan tindakan segera diambil jika berlaku salah guna kuasa.

"Penilaian prestasi tidak sepatutnya hanya berasaskan pencapaian kerja semata-mata, tetapi turut merangkumi aspek tingkah laku dan kepatuhan kepada kod etika," katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, Pengarah jabatan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Selangor didakwa di Mahkamah Sesyen, di Ipoh pada 1 Julai lepas atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM30,000 dua tahun lalu.

Tertuduh, Ahmad Alhairi Mohamed Yusuf, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Berdasarkan pertuduhan tertuduh sebagai penjawat awam iaitu Pengarah Gred J52 di Jabatan Bangunan dan Senibina, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menerima untuk diri sendiri suatu barang berharga iaitu wang tunai RM20,000 dan RM10,000 melalui akaun Maybank milik tertuduh dengan tiada balasan daripada Nazman Puteh, 64, yang diketahui mempunyai hubungan dengan tugas-tugas rasmi tertuduh sebagai Pengarah Jabatan Bangunan dan Senibina MPAJ.

Tambah Hamdan Danial, antara langkah lain yang dibuat majikan dengan mewujudkan saluran aduan yang mudah diakses dan dilindungi bagi kakitangan yang ingin melaporkan salah laku rakan sekerja tanpa rasa takut dikenakan tindakan.

"Pembetulan awal iaitu mengenal pasti kecenderungan rasuah dalam kalangan pegawai muda, khususnya yang terlibat dalam bahagian teknikal, kewangan, perolehan dan penguatkuasaan juga boleh dilaksanankan.

Artikel Berkaitan:

"Peningkatan kes rasuah melibatkan pelbagai sektor termasuk penguatkuasaan undang-undang, perolehan dan pentadbiran menunjukkan bahawa usaha pencegahan rasuah perlu lebih agresif dan disokong secara konsisten oleh semua lapisan pengurusan," katanya.

Ujarnya, kerajaan juga wajar untuk terus menyokong usaha reformasi institusi termasuk pengasingan kuasa, ketelusan dalam lantikan jawatan dan pemantauan sistem penyampaian agar budaya integriti dapat ditegakkan secara menyeluruh.

Dengan komitmen bersepadu antara agensi penguatkuasaan, majikan dan kakitangan sendiri, rasuah dapat dibanteras demi membina negara yang bersih, berakauntabiliti dan berwibawa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!