Majlis Aidilfitri Parlimen Shah Alam, DUN Batu Tiga dibatalkan

Majlis Aidilfitri Parlimen Shah Alam dan DUN Batu Tiga dibatalkan susulan banjir kilat yang melanda beberapa daerah di Selangor.
Majlis Aidilfitri Parlimen Shah Alam dan DUN Batu Tiga dibatalkan susulan banjir kilat yang melanda beberapa daerah di Selangor.
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri anjuran Parlimen Shah Alam dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga yang dijadual berlangsung Ahad ini, dibatalkan susulan kejadian banjir kilat yang melanda beberapa daerah di Selangor.

Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof, dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Danial Al Rashid Haron, dalam kenyataan bersama, memaklumkan keputusan itu dibuat bagi memberi keutamaan terhadap usaha bantuan dan pemulihan pasca banjir.

“Dukacita dimaklumkan bahawa Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri terpaksa dibatalkan atas faktor keselamatan dan keprihatinan terhadap mangsa banjir yang terkesan.

“Ia juga sebagai persiapan berdepan dengan keadaan cuaca yang tidak menentu untuk tempoh beberapa hari akan datang,” kata kenyataan itu pada Jumaat.

Menurut mereka, peruntukan bagi persiapan dan perbelanjaan majlis berkenaan akan disalurkan kepada mangsa banjir dalam bentuk bantuan makanan, pembersihan serta keperluan pasca banjir.

“Kami mohon banyak kemaafan di atas sebarang kesulitan. Semoga keputusan dan usaha ini dapat menzahirkan tanda peduli terhadap mangsa yang terkesan dengan banjir kali ini,” katanya.

Sebelum ini, sebanyak lima daerah di Selangor dilaporkan dilanda banjir kilat berikutan hujan berterusan sejak awal pagi semalam.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Selangor, Lt Kol (PA) Ghazali Abd Rahman berkata, daerah terbabit ialah Petaling, Klang, Sepang, Hulu Langat dan Gombak.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!