'Kematian tidak tunggu kita'

SHAH ALAM - “Lihatlah... inilah rumah terakhir setiap manusia. Tak kira siapa kita di dunia, akhirnya inilah tempat kembali.”
Demikian perkongsian menyentuh hati Abdul Hakim Annuar, 26, yang dimuat naik dalam satu video tular di media sosial baru-baru ini ketika dia berada di dalam liang lahad, bukan sebagai jenazah tetapi sebagai penggali kubur sukarelawan.
Anak muda yang berasal dari Felda Bukit Rokan, Gemencheh di Negeri Sembilan ini bukanlah petugas tetap tanah perkuburan, sebaliknya hanya berkhidmat mengikut waktu lapang.
“Saya mula-mula nak cuba ambil pengalaman (menggali kubur) sahaja, tapi lama-lama saya rasa tanggungjawab itu datang sendiri.
"Kena bantu mudahkan urusan jenazah, fardu kifayah,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, minat itu mula bercambah sejak zaman sekolah sekitar 2016 apabila dia secara spontan pergi ke tanah perkuburan untuk belajar proses menggali kubur daripada orang lama.
Namun katanya, ia hanya menjadi rutin lebih kerap selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 apabila dia menetap semula di kampung dan banyak melibatkan diri dalam kerja-kerja komuniti.
“Saya rasa sayu bila berada dalam liang lahad. Gelap, sempit, sunyi... masa tu kita rasa sangat kerdil.
"Semua benda dunia macam pangkat, harta, hilang makna yang tinggal hanya amalan,” ujarnya.
Mengenang pengalaman menguruskan jenazah, Abdul Hakim berkata, ia bukan sekadar rutin fizikal tetapi peringatan berterusan tentang hakikat kematian yang pasti akan tiba.
Setiap kali menggali kubur, katanya, dia akan tertanya bagaimana pula keadaannya sendiri nanti apabila ajal menjemput.
“Saya bersyukur bila video itu tular. Bukan sebab populariti, tapi sebab ia boleh jadi asbab kesedaran kepada ramai orang terutamanya anak muda,” katanya.
Ujar Abdul Hakim, keluarganya menyokong penuh penglibatannya dalam kerja fardu kifayah itu dan ramai rakan turut menghormati pilihannya, meskipun ia bukan sesuatu yang lazim dilakukan generasi muda.
“Nasihat saya, kejarlah apa yang kita nak kejar di dunia ini, tapi jangan lupa... kematian takkan tunggu kita. Dunia bukan segalanya,” katanya.
Tambahnya, dia memang berhasrat untuk terus aktif dalam khidmat ini dan bercita-cita untuk mengajak lebih ramai anak muda bersama-sama melibatkan diri menggali kubur.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
