Iklan raya kisah anak trauma perceraian ibu bapa menyentuh hati

KEBIASAANNYA tatkala menjelang musim perayaan terutamanya Aidilfitri, banyak pihak berlumba-lumba menghasilkan filem pendek atau iklan raya yang mampu menyentuh hati.
Rata-rata selalunya mengetengahkan jalan cerita mengenai ibu bapa yang diabaikan atau mengangkat tema kekeluargaan.
Masih mengekalkan genre sama, Pekin Ibrahim, Mona Allen dan Amir Nafis tampil dengan iklan raya yang mengangkat kisah anak yang trauma kerana perceraian ibu bapa.
Meraih hampir 250,000 tontonan di TikTok, iklan Raya Bateriku yang berjudul Battery Killer Raya ini dikongsikan semula oleh pengguna aplikasi X dan mendapat komen positif.

Dalam penceritaan dramatik ini, Syawal digambarkan sebagai individu yang ‘membunuh’ bateri kereta orang lain setiap kali musim perayaan, berpunca daripada trauma masa kecilnya.
Syawal sebenarnya mengalami trauma selepas menyaksikan ibu bapanya bertengkar teruk ketika perjalanan pulang ke kampung pada musim Hari Raya 15 tahun lalu.
Punca pergaduhan mereka adalah masalah bateri kereta yang akhirnya membawa kepada perceraian.
Kesan daripada insiden itu, Syawal membesar dengan perasaan dendam dan memilih untuk menyebabkan kesusahan kepada orang lain dengan merosakkan bateri kereta mereka.
Iklan ini turut memaparkan kesan jangka panjang perceraian terhadap anak-anak.
Syawal yang kini dewasa sering merasa kesepian setiap kali musim perayaan kerana keluarganya sudah tidak lagi lengkap.
Namun, dalam satu babak emosional, bapanya yang dilakonkan oleh Pekin Ibrahim akhirnya meminta maaf atas kesilapan lalu, menyedari pertengkaran mereka telah memberikan kesan mendalam kepada Syawal.

Di platform media sosial, ramai yang memuji keberanian iklan raya ini dalam mengangkat isu serius seperti kesan perceraian dan kepentingan penyelenggaraan kenderaan menjelang musim perayaan.
Selain itu, ramai yang turut mengapresiasi kritikan sosial yang disampaikan dalam iklan ini.
Rata-rata warganet berpendapat pertengkaran ibu bapa di hadapan anak-anak boleh meninggalkan kesan trauma yang berkekalan.
Mereka menekankan walaupun isu bateri kereta kelihatan remeh, ia boleh menjadi punca konflik besar dalam keluarga, lebih-lebih lagi ketika musim perayaan.
Ada juga yang mengaitkan mesej iklan ini dengan peningkatan kes perceraian dalam kalangan selebriti dan influencer, di mana anak-anak sering menjadi mangsa keadaan apabila kisah peribadi ibu bapa dikongsikan di media sosial.
Selain itu, ramai yang melihat iklan ini sebagai satu peringatan buat ibu bapa agar tidak terlalu ego untuk meminta maaf kepada anak-anak.
Mereka menegaskan anak juga mempunyai perasaan dan perlu diperlakukan dengan hormat, seperti mana orang dewasa mahu dihormati.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


