Kes Tun Daim: SPRM sita, lucut hak aset RM3 bilion

SPRM menyita dan melucut hak aset yang dikaitkan dengan bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin, isteri, ahli keluarga serta sekutunya bernilai lebih RM3 bilion.
SPRM menyita dan melucut hak aset yang dikaitkan dengan bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin, isteri, ahli keluarga serta sekutunya bernilai lebih RM3 bilion.
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita dan melucut hak aset yang dikaitkan dengan bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin, isteri, ahli keluarga serta sekutunya bernilai lebih RM3 bilion.

SPRM dalam kenyataan berkata, suruhanjaya telah mengenal pasti pemilikan aset-aset luar biasa di 11 buah negara iaitu United Kingdom, Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura, British Virgin Islands, Kepulauan Cayman, Jersey, Itali, Jepun, Indonesia dan beberapa negara di benua Afrika dengan anggaran nilai melebihi RM3 bilion.

Menurutnya, ini merupakan kerjasama strategik SPRM dengan agensi penguatkuasa di United Kingdom iaitu National Crime Agency (NCA) dan International Anti-Corruption Coordination Centre (IACCC).

"SPRM telah memperoleh Perintah Halangan (Restraining Order) di bawah Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Jun lalu terhadap tujuh aset tak alih dan alih yang terletak di United Kingdom yang dianggarkan bernilai RM758 juta.

"Permohonan Bantuan Perundangan Bersama (Mutual Legal Assistance - MLA) kepada pihak berkuasa United Kingdom sedang diproses menerusi Pejabat Peguam Negara, manakala perbincangan lanjut bersama IACCC sedang diselaraskan bagi memastikan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara teratur dan berkesan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Tambah SPRM, permohonan perintah halangan terhadap aset di Singapura dan Jersey juga telah difailkan melalui Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 19 Jun lalu dengan pendengaran permohonan berlangsung pada 23 dan 25 Jun 2025.

Jelasnya, antara aset yang terlibat ialah empat akaun bank dan pelaburan bernilai RM1.15 bilion di Jersey serta 12 akaun bank dan pelaburan bernilai RM540 juta di Singapura.

Kata kenyataan itu lagi, selain itu, permohonan maklumat lanjut berkaitan aset di negara-negara seperti Amerika Syarikat, Switzerland, British Virgin Islands, Kepulauan Cayman, Itali dan Jepun sedang dikemukakan menerusi kerjasama dengan Bank Negara Malaysia, IACCC dan permohonan MLA melalui Pejabat Peguam Negara, bagi membolehkan tindakan lanjut penyitaan dan pelucuthakan aset dilaksanakan secara sah dan menyeluruh.

Ujar SPRM, di peringkat domestik, pihaknya telah memperoleh perintah penyitaan ke atas Menara Ilham pada 4 Jun 2025 dan tindakan sitaan dilaksanakan pada 5 Jun 2025.

Artikel Berkaitan:

"Permohonan pelucuthakan tanpa pendakwaan di bawah Seksyen 56 AMLATFPUAA 2001 telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 25 Jun lepas," katanya.

Menurut SPRM, pihaknya menerusi Bahagian Operasi Khas (BOK) sedang giat melaksanakan tindakan siasatan dan penguatkuasaan dalam kes berprofil tinggi memfokuskan kepada penyitaan dan pelucuthakan aset-aset luar biasa yang berkaitan kes ini.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!