Projek rangkaian fiber: SPRM sita aset hartanah RM620 juta

SPRM. Gambar hiasan
SPRM. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita beberapa hartanah dianggarkan bernilai lebih RM620 juta susulan siasatan melibatkan kelulusan pembiayaan pinjaman institusi perbankan kepada sebuah syarikat membabitkan projek pembangunan rangkaian fiber pada tahun 2012 bernilai kira-kira RM400 juta.

Menurut sumber, sehingga kini SPRM juga merakam percakapan sembilan saksi bagi membantu siasatan.

“Hartanah yang disita ini seperti banglo, kondominium, premis pejabat, lot tanah dan kelab golf yang terletak di sekitar Lembah Klang berjumlah kira-kira RM620 juta di mana suspek juga dipercayai pemegang saham dalam kelab golf tersebut.

"Turut disita ialah empat unit kenderaan mewah yang bernilai kira-kira RM2 juta," katanya.

Tambah sumber, sebanyak 72 akaun meliputi akaun persendirian dan syarikat berjumlah kira-kira RM390,000 juga dibekukan.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan maklumat tersebut dan berkata, notis Pengisytiharan Harta di bawah Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009 akan diserahkan kepada suspek dan 23 individu mulai 10 Julai 2025.

Pada 30 Jun lalu, SPRM menahan reman seorang lelaki merupakan pengarah syarikat bergelar Datuk Wira berusia lingkungan 50-an kerana disyaki terlibat dalam pengubahan wang haram bernilai kira-kira RM75 juta.

Suspek dipercayai telah melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2012 bagi kelulusan pembiayaan pinjaman berjumlah RM400 juta untuk sebuah projek pembangunan rangkaian fibre.

Siasatan awal SPRM mengesyaki RM75 juta tersebut telah disalurkan kepada syarikat milik suspek.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!