Pemilikan aset tidak diisytihar: SPRM rakam keterangan isteri Tun Daim, anak

SHAH ALAM – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merakam keterangan isteri kepada Allahyarham Tun Daim Zainuddin, iaitu Toh Puan Na’imah Khalid dan anaknya, Muhammed Amir Zainuddin Daim berkaitan pemilikan aset luar biasa yang tidak diisytiharkan.
Keterangan kedua-dua individu tersebut diambil pada 14 Jun lalu.
SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa keterangan anak kedua Daim, Muhammed Amin Zainuddin Daim yang kini berada di United Kingdom juga akan diambil.
“Ketiga-tiga individu ini merupakan pemegang saham utama Ilham Baru Sdn Bhd, iaitu syarikat yang memiliki majoriti saham dalam Ilham Tower Sdn Bhd dan dikenal pasti sebagai pemilik manfaat kepada Menara Ilham.
“Selaras dengan Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009, Notis Pengisytiharan Harta telah diserahkan bermula 10 Julai 2025 kepada seramai 22 individu yang dikenal pasti sebagai saudara dan sekutu rapat kepada Allahyarham Tun Daim Zainuddin dan Toh Puan Na’imah Khalid, bagi tujuan pengesanan dan pengesahan pemilikan aset,” katanya pada Jumaat.
Jelas SPRM, tindakan-tindakan tersebut merupakan sebahagian daripada fungsi dan peranan suruhanjaya untuk memastikan tiada unsur amalan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa dalam pengurusan kekayaan negara.
Menurut kenyataan itu, SPRM komited untuk menjalankan siasatan secara bebas, telus dan berlandaskan undang-undang tanpa sebarang campur tangan atau kepentingan politik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
