Keputusan permohonan semakan Na’imah rujuk 8 persoalan, Ogos depan

Na'imah Abdul Khalid
Na'imah Abdul Khalid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peguam kepada balu bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin memberitahu bahawa, Mahkamah Sesyen tersalah tanggapan ketika menolak permohonan Toh Puan Na'imah Abdul Khalid untuk merujuk lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Tinggi di sini.

Peguam, Datuk Dr Gurdial Singh Nijar berkata demikian ketika hujahan permohonan semakan Na’imah, 67, untuk merujuk persoalan berhubung pertuduhan berkaitan mengisytiharkan harta di hadapan Hakim, K Muniandy.

Menurutnya, perkara itu meliputi isu perlembagaan seperti hak untuk berdiam diri daripada memberi keterangan sedangkan ia boleh digunakan untuk mensabitkannya dalam sebarang kes.

Beliau berkata, Na'imah selaku pemohon telah didakwa gagal mematuhi terma suatu notis bertarikh 8 November 2023 yang dikeluarkan di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

"Pertuduhan terhadap pemohon berkemungkinan besar dibuat sebagai tindakan balas SPRM terhadapnya kerana gagal mematuhi notis berkenaan," katanya.

Bagaimanapun, pendakwaan selaku responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How berkata, pertuduhan ke atas pemohon tidak menyebabkan berlakunya salah laksana keadilan.

"Ini kerana perbicaraan terhadap permohon belum dimulakan malah tiada saksi yang dipanggil untuk memberi keterangan.

"Siasatan kes SPRM sukar untuk dilengkapkan kerana saksi cenderung untuk ‘bersembunyi’ di belakang hak mereka dan enggan memberi kerjasama," katanya.

Selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak, mahkamah menetapkan tarikh keputusan permohonan itu pada 12 Ogos depan.

Artikel Berkaitan:

Pada 18 Februari lalu, Mahkamah Sesyen menolak permohonan Na'imah bagi merujuk persoalan undang-undang mengenai kesahihan pertuduhan gagal mengisytiharkan harta yang dihadapinya ke Mahkamah Tinggi.

Hakim, Azura Alwi memutuskan demikian selepas mendapati permohonan itu tidak bermerit kerana tiada isu perlembagaan berbangkit dalam kes berkenaan.

Pada 29 Februari 2024, Na’imah memfailkan permohonan untuk merujuk persoalan undang-undang membabitkan Seksyen 30(5), Seksyen 36(2) dan Seksyen 62 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 32(3)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 ke Mahkamah Tinggi.

Pada 23 Januari tahun lepas, Na'imah, didakwa atas pertuduhan gagal mematuhi notis agar mengisytiharkan hartanya termasuk Menara Ilham serta beberapa aset lain di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda RM100,000 jika sabit kesalahan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!