Mahmoud Khalil fail tuntutan AS$20 juta terhadap Trump

NEW YORK – Aktivis pelajar pro-Palestin, Mahmoud Khalil, yang sebelum ini dipenjarakan selama lebih tiga bulan, telah memfailkan tuntutan pampasan sebanyak AS$20 juta (sekitar RM85 juta) terhadap pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Dokumen mahkamah yang difailkan pada Khamis mendakwa pentadbiran Trump bertindak memfitnah, mendakwa secara melulu dan menahan beliau secara tidak sah.
Tuntutan tersebut menamakan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS (DHS), Imigresen dan Penguatkuasaan Kastam (ICE), serta Jabatan Negara AS sebagai defendan.
Dalam temu bual bersama Associated Press, Khalil berkata, beliau berharap tindakan undang-undang ini akan menghantar mesej jelas bahawa pentadbiran Trump tidak boleh membuli aktivis sesuka hati.
"Mereka menyalahguna kuasa kerana merasakan mereka kebal. Selagi tiada pertanggungjawaban, penyalahgunaan ini akan terus berlaku," katanya.
Tuntutan itu dipercayai sebagai langkah awal kepada saman penuh di bawah Akta Tuntutan Tort Persekutuan (FTCA).
Khalil, yang juga bekas jurucakap protes pro-Palestin di Universiti Columbia, menyatakan bahawa wang pampasan itu akan digunakan bagi membantu aktivis lain yang menjadi mangsa tindakan keras kerajaan.
Beliau turut menyatakan kesediaan menerima permohonan maaf rasmi dan perubahan dasar pengusiran oleh pentadbiran Trump, yang mana dirinya sendiri masih berdepan prosiding pengusiran.
Dilahirkan di Damsyik, Syria, oleh ibu bapa berketurunan Palestin, Khalil muncul sebagai wajah utama gerakan solidariti Palestin di AS susulan perang Israel-Gaza yang tercetus pada Oktober 2023.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan hak asasi telah menyifatkan tindakan Israel di Gaza sebagai berunsur genosid, manakala Universiti Columbia menjadi pusat perhimpunan mahasiswa global menentang peperangan tersebut.
"Saya antara yang bernasib baik kerana masih dapat bersuara untuk rakyat Palestin yang dibunuh di tanah air mereka," kata Khalil dalam satu wawancara bersama Al Jazeera pada Mei 2024.
Khalil menjadi individu pertama ditahan dalam operasi ini, apabila pegawai imigresen berpakaian preman menahannya di apartmen universiti pada 8 Mac lalu.
Beliau dipindahkan dari New York ke Louisiana dan ditahan di Pusat Tahanan LaSalle sementara menunggu pengusiran.
Peguam Khalil kemudiannya memfailkan petisyen habeas corpus dan cabaran terhadap pengusiran beliau.
Khalil adalah penduduk tetap sah AS, manakala isterinya, Noor Abdalla, merupakan warganegara AS yang ketika itu sedang hamil.
Setiausaha Negara, Marco Rubio, menggunakan satu peruntukan lama dalam Akta Imigresen dan Kewarganegaraan 1952 bagi menghalalkan tindakan itu, mendakwa Khalil boleh menjejaskan dasar luar negara AS. -Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

