Selepas terkandas lebih 9 bulan di angkasa, 2 angkasawan berdepan masalah kesihatan

Wilmore dan Williams kini berada di bawah pemantauan rapi pasukan perubatan NASA. Foto Agensi
Wilmore dan Williams kini berada di bawah pemantauan rapi pasukan perubatan NASA. Foto Agensi
A
A
A

WASHINGTON - Dua angkasawan NASA, Suni Williams dan Butch Wilmore, yang selamat kembali ke bumi selepas sembilan bulan berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) jauh lebih lama daripada tempoh asal yang dirancang dijangka menghadapi pelbagai cabaran kesihatan.

Wilmore dan Williams dilancarkan ke ISS pada Jun 2024 dalam penerbangan kru pertama kapsul Boeing Starliner.

Mereka sepatutnya hanya menghabiskan seminggu di angkasa, namun masalah teknikal pada kapal angkasa itu menyebabkan kepulangan mereka tertangguh hingga awal 2025.

Tempoh misi yang berpanjangan ini telah meningkatkan risiko kesihatan akibat pendedahan berterusan kepada mikrograviti dan radiasi angkasa.

Menurut pakar perubatan NASA, antara kesan utama yang bakal dialami kedua-dua angkasawan ialah kehilangan jisim otot dan kepadatan tulang.

Tanpa tarikan graviti Bumi, otot dan tulang mereka tidak digunakan seperti biasa, menyebabkan kemerosotan yang boleh mencapai 1 hingga 1.5 peratus setiap bulan.

Walaupun mereka menjalani latihan fizikal di ISS, pemulihan sepenuhnya mungkin mengambil masa berbulan-bulan atau bahkan bertahun-tahun.

Selain itu, perubahan fisiologi lain termasuk pergerakan cecair badan ke bahagian kepala boleh memberi tekanan pada otak dan mata, sekali gus menyebabkan masalah penglihatan jangka panjang.

Artikel Berkaitan:

Kajian NASA menunjukkan ramai angkasawan mengalami perubahan pada bentuk mata serta pengurangan ketajaman penglihatan selepas pulang dari angkasa.

Wilmore dan Williams juga berisiko mengalami gangguan keseimbangan serta kesukaran berjalan akibat perubahan dalam sistem ‘proprioception’ mereka.

Keadaan ini boleh menyebabkan rasa pening, mual dan ketidakstabilan ketika berdiri atau bergerak di permukaan Bumi.

Selain kesan mikrograviti, pendedahan kepada radiasi angkasa turut menjadi kebimbangan utama.

Walaupun ISS masih berada dalam perlindungan sebahagian daripada medan magnet Bumi, angkasawan tetap terdedah kepada tahap radiasi yang lebih tinggi berbanding di permukaan bumi.

Pendedahan jangka panjang ini boleh meningkatkan risiko kanser, penyakit jantung dan gangguan sistem saraf dalam tempoh panjang.

Faktor psikologi turut menjadi cabaran bagi kedua-dua angkasawan ini.

Hidup dalam persekitaran tertutup untuk tempoh yang lama boleh menyebabkan tekanan emosi, gangguan tidur dan perubahan pada sistem imun.

NASA kini meneroka kaedah untuk membantu angkasawan mengatasi kesan ini, termasuk terapi realiti maya serta aktiviti psikologi khas bagi membantu mereka menyesuaikan diri semula dengan kehidupan di Bumi.

Wilmore dan Williams kini berada di bawah pemantauan rapi pasukan perubatan NASA, yang akan menilai tahap kesihatan mereka serta membantu dalam proses pemulihan.

Pakar menjangkakan mereka akan mengambil masa lebih lama untuk kembali ke tahap fizikal dan mental yang optimum berbanding angkasawan yang hanya menjalani misi selama enam bulan.

Kisah Wilmore dan Williams menjadi satu lagi bukti cabaran besar dalam penerokaan angkasa lepas, terutama bagi misi jangka panjang ke bulan dan Marikh yang dirancang pada masa depan. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!