NGO, pemimpin masyarakat hulur bantuan, jamin pendidikan Putri Qisya

JITRA – Tragedi menyayat hati yang meragut nyawa enam sekeluarga di Sungai Korok, termasuk ibu bapa dan empat adik-beradik Putri Qisya Nur Izzat Mohamad Azim, 12, terus mengundang simpati serta keprihatinan pelbagai pihak.
Namun, Putri Qisya tidak keseorangan apabila pelbagai badan bukan kerajaan (NGO), pemimpin masyarakat dan ahli politik tampil memberikan sokongan moral dan bantuan berterusan demi memastikan masa depannya terus terpelihara.
Pengerusi Persatuan Anak Muda Madani Kedah, Datuk Zuraidi Rahim berkata, pihaknya terpanggil untuk membantu selepas mendengar kisah duka yang menimpa kanak-kanak itu.
“Kita hadir bukan sekadar menziarahi, tetapi untuk memberi suntikan semangat kepada adik Qisya.
“Kita faham ujian ini sangat berat, dan dia perlu sokongan berterusan. Kita beri jaminan, setiap bulan akan ada bantuan khusus untuk pelajaran dia, dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah,” katanya ketika ditemui selepas menziarahi Putri Qisya di kediaman saudaranya di Taman Sri Aman, petang Rabu.
Dalam pada itu, Zuraidi turut menyambut baik cadangan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk membina pagar penghadang dan memasang lampu jalan di lokasi kejadian.
“Langkah ini sangat wajar kerana kawasan itu telah beberapa kali mencatatkan kemalangan. Kita harap tindakan segera diambil agar tiada lagi nyawa terkorban,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari yang hadir menyampaikan salam takziah daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, turut memberi jaminan bahawa aspek kesihatan mental dan pendidikan Putri Qisya akan terus dipantau.
“Saya telah berbincang dengan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memastikan sesi kaunseling dijalankan secara berkala.
“Kita mahu pastikan trauma ini tidak menjejaskan masa depan adik Qisya,” katanya yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah.
Beliau turut memaklumkan bahawa AMK Kedah akan terus memantau perkembangan Putri Qisya dan mendapatkan maklum balas berkala daripada pihak sekolah serta keluarga angkatnya.
Dalam kejadian pada Sabtu lalu, kereta Proton Iswara yang dinaiki enam sekeluarga itu dipercayai terbabas sebelum terjunam ke dalam Sungai Korok di Kampung Kemboja.
Ibu bapa Putri Qisya, Mohamad Azim Izat Ishak, 32, dan Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta empat adik-beradiknya iaitu Putra Rayyan Nur Izzat, 9; Hawa Adriana Nur Izzat, 8; Annayla Humaira Nur Izzat, 7; dan Tuah Haydar, enam bulan, ditemukan maut pada pagi Isnin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

