'Qisya kelihatan matang tapi jiwa kecilnya masih bergelut dengan trauma'

Halimaton Shaadiah semasa menziarahi Putri Qisha di Jerlun.
Halimaton Shaadiah semasa menziarahi Putri Qisha di Jerlun.
A
A
A

ALOR SETAR – “Qisya mungkin kelihatan matang, tetapi jiwanya masih seorang kanak-kanak yang sedang bergelut dengan emosi."

Demikan kata Exco Kebajikan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat Perpaduan Negeri Kedah, Datuk Halimaton Shaadiah Saad ketika mengulas keadaan emosi Putri Qisya Nur Izzat, 12, yang kehilangan enam ahli keluarga dalam tragedi menyayat hati di Terusan Sungai Korok, Jitra.

Menurut Halimaton, walaupun Putri Qisya kelihatan tenang dan mampu berkomunikasi dengan baik, reaksi spontan seperti menggenggam tangan erat dan menangis menunjukkan dia masih dalam fasa trauma.

“Dari pagi, emosinya turun naik. Kadang-kadang dia bercakap seperti orang dewasa, tetapi apabila kita lihat lebih dekat, dia masih seorang kanak-kanak. Kita tidak boleh tekan dia dengan soalan berat. Dia masih cuba menerima kehilangan besar ini,” katanya semasa ditemui pada Rabu.

Beliau berkata, siasatan lanjut akan dilakukan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menentukan penjaga yang paling sesuai, sama ada dalam kalangan saudara-mara atau institusi kebajikan.

“Emosi dia perlu diutamakan. Kita akan tengok kes ini secara menyeluruh mengenai penjagaannya, mengikut Akta Kanak-Kanak. Jika ada permohonan penjagaan, kita akan nilai satu per satu,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya sedang meneliti pilihan terbaik untuk penjagaan kanak-kanak tersebut oleh warisnya termasuk kemungkinan ditempatkan di asrama kebajikan di bawah seliaan agensi seperti institusi anak yatim yang berdaftar.

“Dia ada sebut sedang belajar di Alor Setar. Kalau duduk di asrama, lebih mudah untuk dia fokus dan dapat sokongan. Kita juga boleh mohon bantuan zakat untuk membiayai keperluan dia,” jelasnya.

Dalam pada itu, Halimaton Shaadiah turut melahirkan kebimbangan terhadap kemungkinan ada pihak yang cuba mengambil kesempatan terhadap situasi yang dihadapi Putri Qisya.

Artikel Berkaitan:

“Bila ramai mula beri perhatian, kita kena berhati-hati. Kita tidak mahu ada yang ambil kesempatan. Sebab itu kita kena pastikan dia dijaga oleh orang yang benar-benar ikhlas dan mampu beri kasih sayang,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan dalam kejadian tragis itu, Qisya kehilangan kedua-dua ibu bapanya, Mohamad Azim Izat Ishak, 32, dan Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta empat adik-beradiknya yang ditemukan meninggal dunia di dalam kereta mereka yang terjunam di Terusan Sungai Korok pada Isnin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!