[VIDEO] ‘Kalau betul abang ada dalam sungai ini, timbullah’ - Doa adik terjawab di Sungai Korok
JITRA – Keluarga Allahyarham Mohamad Azim Izat Ishak, 32, mengakui lokasi penemuan kereta mangsa yang maut bersama isteri dan empat anak mereka di Terusan Sungai Korok di sini antara tempat pencarian mereka selepas keluarga tersebut dilaporkan hilang.
Adik mangsa, Nor Hanani Mawaddah Ishak, 30, berkata, naluri kuat sebagai seorang adik membuatkan dia yakin abangnya berada di kawasan sungai tersebut ketika mereka sekeluarga mencarinya pada petang Ahad, sehari sebelum penemuan tragik itu.
“Kami cari di sekitar kawasan tu. Saya nampak buih-buih kecil timbul di permukaan air. Hati saya kuat kata abang ada di situ, tapi saya tak mahu fikir yang bukan-bukan,” katanya ketika ditemui di Taman Seri Aman di sini pada Rabu.

Ceritanya lagi, ketika itu mereka sekeluarga berdoa agar abang dan keluarganya segera ditemui selepas lebih dua hari gagal dihubungi.
“Saya berdoa sambil sebut nama abang, kakak ipar dan anak-anak. Saya kata, ‘Kalau betul abang ada dalam sungai ini, timbullah’. Bapa saudara kami pun azan di tepi sungai. Waktu tu dah hampir Maghrib,” ujarnya.
Doa mereka akhirnya terjawab apabila kereta Proton Iswara milik Azim ditemui tenggelam di lokasi yang sama pada pagi Isnin, bersama jasad enam sekeluarga.
Mangsa yang terkorban ialah Azim; isterinya, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31; serta empat anak mereka iaitu Putra Rayyan Nur Izzat, 9; Hawa Adriana Nur Izzat, 8; Annayla Humaira Nur Izzat, 7; dan Tuah Haydar, enam bulan.

Anak sulung mereka, Putri Qisya Nur Izzat, 12, terselamat kerana tidak ikut serta dan berada di rumah neneknya di Jerlun ketika kejadian.
Nor Hanani Mawaddah turut berkongsi kenangan terakhir bersama arwah abangnya yang datang menziarahnya di Perlis pada 27 Jun lalu.
“Dia peluk saya lama. Dia pesan, ‘jaga mak elok-elok’. Dia kata kalau ada apa-apa, cari abang atau adik lelaki bongsu. Masa tu saya tak sangka apa-apa, tapi bila jadi macam ni, baru saya faham,” jelasnya.
Katanya, anak-anak arwah juga sempat melambai sebelum pulang ke Jerlun, walaupun pada awalnya mereka enggan pulang kerana masih cuti hujung minggu.
“Saya cakap kat budak-budak tu, esok Mak Lang kerja, tak ada siapa di rumah. Sebab tu mereka pun balik. Tapi pelukan abang kali kedua itu lain sangat rasanya,” katanya dalam nada pilu.
Sebelum ini, media melaporkan enam sekeluarga ditemukan lemas dalam kereta yang dipercayai terbabas dan terjunam ke dalam terusan selepas pulang dari bermalam di rumah adik Azim, Nur Adliah Syuhada, 26.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

